Malaysia Dateline

Sokong jambatan ketiga bersyarat, kata Adun Perling

Cadangan Kerajaan Johor bagi membina jambatan ketiga yang menghubungkan kedua negara antara Malaysia dan Singapura telah mendapat reaksi dari pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut Adun Perling, Cheo Yee How, cadangan tersebut dilihat baik untuk mengurangkan kesesakan yang berlaku di kedua jambatan yang sedia ada.

Namun menurutnya, segala perancangan perlu diteliti dengan cermat sebelum membina jambatan tersebut.

“Kami menyokong pembina jambatan berkenaan tapi ia perlulah bersyarat. Antaranya soal dana kerana sebelum ini kerajaan Johor dan Malaysia telah mendakwa bahawa mereka mahu mengurangkan perbelanjaan.

“Selain itu yang menjadi kebaikannya apabila jambatan itu dibina di bahagian timur ia dapat meningkatkan ekonomi di kawasan berkenaan yakni di Pasir Gudang.

“Sekiranya pembangunan berlaku di kawasan sekitar jambatan ketiga, kerajaan Johor perlu juga memikirkan apa keuntungan pada negeri selain hartanah,” katanya ketika ditemui.

Menurutnya lagi, gesaan agar pihak kerajaan untuk tidak meninggalkan pembangunan kemudahan infrsstruktur terhadap kedua jambatan yang sedia ada perlu juga diutamakan.

Dalam pada masa yang sama, Pengerusi NGO Sahabat Alam Tanjung Piai, Najib Daud mempunyai pandangan yang berbeza berkenaan dengan isu ini.

Katanya, belum ada keperluan sekiranya sistem di dua jambatan yang selama ini terdapat masalah masih belum diselesaikan.

“Karenah birokrasi yang banyak berlaku di kawasan dua jambatan yang sedia ada masih belum mendapat penyelesaiannya.

“Sekiranya kerajaan Johor mahu membina jambatan yang baharu namun masih mengekalkan sistem yang sedia ada, perkara ini akan menjadi sama seperti di dua jambatan sedia ada,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa kepentingan membina jambatan bengkok lebih utama berbanding jambatan ketiga kerana aliran laut dapat dilepaskan dari terperangkap di sekeliling paya bakau di sekitar Johor.