Malaysia Dateline

Sokong JAWI, gesa JAINJ pertimbang penangguhan pernikahan

Kaedah melakukan pernikahan secara atas talian (online) oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)hari ini buat pertama kali mendapat sokongan ramai.

Ekoran itu, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) digesa untuk melakukan perkara yang sama bagi pasangan yang mahu bernikah di negeri itu.

Gesaan itu dibuat Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim yang menegaskan agar Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor untuk mengambil pendekatan menyemak semula perkeliling yang dikeluarkan oleh pihak JAINJ.

Katanya, agama Islam mempunyai banyak kaedah bagi penyelesaian perkara yang berbangkit termasuk dalam soal penikahan.

“Dalam soal ini, Islam banyak memberikan kaedah yang pelbagai dalam soal menyelesaikan permasalahan berbangkit termasuk soal perkahwinan atau pernikahan.

“Negara arab seperti UAE pun telah mengambil langkah ini dari awal di mana negara ini membolehkan syarat perkahwinan secara atas talian bagi memudahkan pasangan itu menguruskan kehidupan mereka tanpa ada sekatan dari segi agama.

“Kita maklum bahawa kemaslahatan akan berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, namun harus diingat bahawa perlu satu jalan penyelesaian bukan dengan menangguhkan perkara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa tindakan JAINJ ini dilihat seperti mengambil langkah mudah tanpa memikirkan kesan dari pandangan masyarakat terhadap agama Islam.

Katanya lagi, Exco yang bertanggungjawab dalam soal ini perlu mengambil berat atas perkara yang sedang dibangkitkan bukan hanya mendiamkan diri.

“Ini soal masalah umat yang perlu diselesaikan. Janganlah Exco atau kerajaan negeri Johor hanya mendiamkan diri tanpa mahu memikirkan jalan penyelesaiannya.

“Dalam kes ini, ia akan mencerminkan Islam dilihat seperti sempit kerana tidak mampu menyelesaikan perkara ini sedangkan kaedah yang pelbagai boleh dilaksanakan bagi memudahkan cara.

“Apa yang diperlukan ada menyelesaikan permasalahan mereka yang ingin berkahwin dan telah pun mendaftar dalam hal tersebut perlulah diutamakan bukan mereka yang baru memohon untuk berkahwin,” katanya lagi.