Sokong Kerajaan Perpaduan, Hamzah maklum surat akan dihantar kepada 7 ahli secara serentak

Oleh MAISARAH AISYA

Tular sebelum ini mengenai enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu yang menyokong pentadbiran Perdana Menteri dan Menteri Besar Selangor.

Disebabkan itu surat berkaitan tujuh ahli pembangkan itu akan dihantar minggu hadapan sejurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kubu Bharu selesai.

Menurut Harian Mero, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Bersatu sudah selesai membuat keputusan mengenai nasib tujuh ahli tersebut.

Ketua Pembangkang itu turut menegaskan keputusan untuk menghentikan keahlian Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Labuan itu antara wakil rakyat terawal menyokong pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Suhaili yang pertama akan menerima surat (terhenti keahlian) kerana ada perkara tertentu, memang sudah ada keputusan kita yang hanya mahu menunggu pengesahan MPT (Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu).

“Dua lagi wakil rakyat Bersatu (Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi dan Adun Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari) yang berceramah di pentas ceramah Pakatan Harapan (PH) (di Kuala Kubu Baharu).

“Kalau mengikut perlembagaan kita (Bersatu) secara automatik mereka (Zulkafperi dan Abdul Rashid) ini terhenti menjadi ahli Bersatu, maka kita akan bawa juga untuk buat pengesahan (di mesyuarat MPT) nanti,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Media melaporkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal dengan pendirian enam Ahli Parlimennya yang menyokong pentadbiran Anwar, akan kehilangan kerusi.

Ini adalah berdasarkan pindaan perlembagaan parti itu yang sudah diluluskan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Selain Suhaili dan Zulkafperi, empat lagi Ahli Parlimen yang menyokong pentadbiran Anwar ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Abdul Rashid pula menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Perlu kosongkan kerusi

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan semua wakil rakyat terbabit perlu mengosongkan kerusi masing-masing.

Ini adalah bagi memberi laluan kepada PRK untuk diadakan selepas keahlian mereka dalam Bersatu terhenti kelak.

“Mereka terhenti menjadi ahli, maka dalam akta (lompat parti) sudah diluluskan. Maknanya kawasan mereka juga terpaksa mereka lepaskan kerusi,” katanya.

Baca juga: Haram bagi ahli Pas jika tidak keluar mengundi di Kuala Kubu Baharu – Takiyuddin