Malaysia Dateline

Sokong ketegasan Menteri Pertahanan, penghina ATM adalah musuh negara

Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Perak menyokong ketegasan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang menganggap mana-mana pihak tanpa mengira kaum yang menghina peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan musuh kepada negara.

Ketuanya Hasnul Zulkarnain Abd Munaim juga bersetuju bahawa tindakan sedemikian adalah sangat jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Kami menegaskan, penghinaan kepada ATM serta pihak keselamatan yang lain adalah satu perkara yang sangat serius kerana ia jelas menghina institusi penting yang menjaga kedaulatan negara.

“Semua pihak perlu menginsafi bahawa keamanan dan kemakmuran negara yang dikecapi pada hari ini antaranya adalah atas pengorbanan pihak ATM. Setiap penghinaan terhadap insitusi pertahanan dan keselamatan negara wajar dikutuk,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang serius dan tuntas terhadap mereka yang menghina ATM dan cuba menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan rakyat.

Selain itu, Hasnul juga berharap agar kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat mempertimbangkan saranan Menteri Pertahanan supaya kerajaan menambah peruntukan Kementerian Pertahanan bagi meningkatkan kekuatan pihak tentara serta menjaga kebajikan mereka.

“Kami yakin harapan Kementerian Pertahanan ini dapat direalisasikan oleh kerajaan yang prihatin terhadap kesiapsiagaan pertahanan negara dan kebajikan anggota tentera,”ujarnya.

Justeru itu, Pemuda HARAPAN Perak mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menghormati dam menghargai peranan serta pengorbanan yang dilakukan oleh ATM.