Malaysia Dateline

Sokong Ku Li, kesahihan kerajaan PN perlu dimuktamadkan, kata Khalid

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad bersetuju bahawa sepatutnya persoalan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri perlu diutamakan di dalam sidang Dewan Rakyat.

Beliau berkata, kesahihan kerajaan itu sendiri perlu dimuktamadkan sebelum melaksanakan apa-apa urusan melibatkan kerajaan yang akan membuat undang-undang.

Menurutnya apa yang ditegaskan Tengku Razaleigh Hamzah adalah bertepatan kerana ianya melibatkan perlembagaan yang mengatasi peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

“Apa yang ditegaskan Ku Li dan isu ini memang saya setuju bahawa persoalan undi tak percaya terhadap PM perlu diutamakan kerana kesahihan kerajaan itu sendiri perlu dimuktamadkan.

“Kesahihan kedudukan PM dipertikaikan kerana dianggap tidak ada majoriti. Maka kalau ada undi tak percaya, ianya bukan usul yang biasa. Ianya perlu diutamakan untuk menentukan bahawa segala yang dilakukan itu adalah sah.

“Kalau PM tak sah, maka semua dilakukan tak sah. Saya setuju perkara ini dengan Ku Li, kerana ianya melibatkan perlembagaan. Perlembagaan mengatasi peraturan mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya dalam wawancara Jom Channel malam tadi.

Pada semalam, tersebar satu surat dari Ku Li yang menggesa Speaker Dewan Rakyat untuk membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan di dalam Dewan.

Menerusi surat bertarikh 25 September itu, beliau berkata, pencadang usul iaitu Ahli Parlimen Langkawi mendakwa Tan Sri Muhyiddin Yassin sebanyak dua kali enggan membenarkan usul tersebut dibahaskan dengan cara menyenarainya di penghujung senarai perbahasan.

“Dengan itu, perbahasan terhadap usul tersebut terhalang di samping pengundian terhadapnya tidak dapat dilaksanakan oleh Dewan Rakyat,” katanya.