Malaysia Dateline

Sokong mufti hukum haram rentas negeri, netizen bengang ‘sekolahkan’ KP Pas

Rata-rata warganet tampil tidak puas hati membidas kenyataan Ketua Pemuda Pas, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin yang dilihat menyebelahi Mufti Wilayah Persekutuan berhubung haram hukumnya melanggar larangan merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri.

Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) berkata, rakyat perlu kembali kepada radar Islam dan mengingatkan bahawa menipu semata-mata untuk menyambut Aidilfitri adalah ditegah di dalam Islam.

“Sedangkan kita sentiasa mendidik anak-anak kita agar tidak melakukan penipuan. Apakah salah bagi seorang mufti untuk mendidik rakyatnya agar tidak melakukan penipuan?” katanya di hantaran Facebook hari ini.

Dia berkata demikian sehari selepas memuat naik beberapa gambar Majlis Berbuka Puasa Perpaduan Ramadan di ibu negara dengan kira-kira 50 individu daripada tujuh sayap pemuda parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Terdahulu, Datuk Dr Luqman Abdullah berkata, asas kepada larangan rentas negeri perlu dilihat daripada hadis Rasulullah SAW mengenai wabak penyakit taun.

Sehubungan itu, ramai berkongsikan pandangan menyatakan memahami kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Walau bagaimanapun, apa yang sukar diterima oleh rakyat apabila penguatkuasaan undang-undang berkaitan SOP dilihat bersifat dua darjat.

“Betul. Setuju. Cuma diharap nasihat-nasihat itu selari dengan pelaksanaan. Ramai rakyat terkilan dengan double standard yang ada sekarang ini.

“Disamping rakyat bermuhasabah, marilah pemimpin juga bermuhasabah menjadi contoh dan tauladan yang baik kepada rakyat,” kata Hakim Hazman.

Sementara itu, Mohd Zulkarnaen Abdul Murad bertanyakan jumlah sebenar menteri yang telah dikenakan kompaun ekoran ingkar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Rasanya rakyat tak marah untuk pematuhan SOP. Yang rakyat marah adalah undang-undang yang tidak adil untuk yang langgar SOP.

“Cuba senaraikan berapa orang menteri yang dah kena kompaun setakat hari ini berkenaan pelanggaran SOP? Ramai dah kantoi tapi tiindakan. Itu yang rakyat marah,” tegasnya.

Hal sama juga dibangkitkan pengguna Facebook Azhar Jebat Moden yang sudah bersabar untuk terus mematuhi SOP.

“Yang di atas itu langgar SOP, siap tunjuk di media sosial. Kenapa? Memanglah kawan korang, tapi korang nak bekap pun agak-agaklah.

“Benda dah terang-terang. Tolong tegur depan-depan. Jangan dok double standard. Laa ni bila kes Covid-19 naik mencanak, korang kata rakyat tak ikut SOP. Tak ke bangang kalau kami dok diam saja,” tempelaknya.