Malaysia Dateline

Sokong, politik perlu ‘pause’ sekejap

Parti MUDA (Malaysia Democratic United Alliance) yang ditubuhkan oleh Syed Saddiq memberi harapan baru buat anak muda Malaysia untuk melihat landskap politik Malaysia berubah dan tidak lagi dimonopoli oleh orang lama. Namun begitu, penubuhan parti MUDA ini seringkali diragui kerana idealisme parti yang belum jelas hala tujunya malah sering terkait dengan agenda Mahathir walaupun berulang kali Syed Saddiq menafikannya.

Semalam Syed Saddiq mewakili parti MUDA juga memulakan kempen #PauseMalaysia yang menuntut 3 permintaan iaitu tempoh berdamai antara parti politik, tidak ada PRU selagi kes Covid masih aktif dan memohon pihak kerajaan, pembangkang atau bebas mewujudkan satu kerjasama melebihi kepartian dalam meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan utama. Saya bersetuju ahli politik seharusnya membuat gencatan politik ketika musim pandemik Covid19.

Permintaan ketiga #PauseMalaysia itu sebenarnya sama seperti yang diusulkan oleh YB Anthony Loke di mana pada 17 Ogos yang lalu juga Anthony Loke meminta gencatan politik dilaksanakan dengan bersyarat supaya kerajaan menangani pandemik Covid19 dan menghidupkan semula ekonomi. Saya fikir rakyat sudah penat melihat ketidakstabilan politik negara semenjak Pakatan Harapan digulingkan.

Kita seharusnya memohon gencatan politik sejurus Langkah Sheraton terjadi kerana ketika itulah waktu paling sesuai gencatan politik dilakukan kerana proses melobi MP sedang giat dijalankan. Namun begitu, gencatan politik ini hanya boleh dilaksanakan jika blok kerajaan dan pembangkang bersetuju dalam perkara yang melibatkan rakyat terutamanya berkaitan kes Covid19.

Saya fikir permintaan gencatan politik bukanlah bermaksud kita memihak pada sesiapa cuma keutamaan sekarang rakyat Malaysia harus bersatu-padu melawan Covid19 dan ahli politik juga perlu mengikuti SOP KKM dan tiada “double standard” dalam peraturan SOP Covid19.

Kita tidak akan lupa Langkah Sheraton terjadi ketika dunia sedang dilanda pandemik dan ketika kita masih belum menang melawan pandemik ini PRN Sabah terpaksa dijalankan hanya kerana proses melobi ahli politik giat dijalankan untuk menjatuhkan kerajaan negeri sedia ada.

Seruan gencatan politik ini sepatutnya datang dari Perdana Menteri sendiri kerana dia adalah kunci untuk blok kerajaan dan pembangkang duduk semeja dan berbincang. Jika soalan media pun tak dijawab apatah lagi menjawab permintaan blok pembangkang sedia ada? Ini persoalan utama mengapa permintaan gencatan politik ini dihiraukan.

Di negara Thailand tiada istilah gencatan politik malah rakyatnya masih melaung di jalanan tentang hak mereka dan menuntut reformasi kerajaan monarki begitu juga apa yang terjadi di Indonesia ketika ini. Saya melihat situasi perebutan kuasa ini terjadi di mana-mana negara dan pada akhirnya hanya melibatkan sekumpulan kecil elit politik yang menidakkan suara rakyat.

Jika hari ini rakyat berdiam diri maka tiadalah perubahan. Seandainya sebelum ini pihak pembangkang diam membungkam saat kes 1MDB meledak kerajaan BN juga tidak akan tumbang pertama kali dalam sejarah Malaysia pada 9 Mei 2018 yang lalu, tanpa desakan rakyat kita juga tidak mampu mengubah apa-apa.

Kali ini kita tidak boleh “pause” lagi sebaliknya #ForwardMalaysia. Kita harus terus mengkritik kebobrokan yang terjadi di kalangan pemimpin kita yang rakus menggunakan kuasa tanpa memikirkan soal rakyat. Kita harus kekal membawa suara rakyat dan mendesak mereka bertanggungjawab atas setiap kelemahan tadbir urus mereka. Dalam hidup ini juga begitu, tiada perkataan “pause” yang ada cuma jalan terus! Ayuh kita sama-sama #ForwardMalaysia.

—————————–

Penulis adalah aktivis politik yang aktif di Terengganu.