Malaysia Dateline

Sokong produk keluaran tempatan tanpa babit isu kaum, kata Pengarah Urusan Mydin

Sebagai tanda sokongan kepada barangan buatan tempatan, rakyat di negara tanpa mengira agama atau bangsa disaran mengutamakan membeli barangan keluaran Malaysia.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata pembeli tidak harus meneliti barangan itu diperbuat daripada siapa kerana Malaysia adalah negara makmur yang mempunyai rencam kaum dan agama.

“Sebenarnya banyak barang yang dijual di pasaraya, semuanya bukan barangan buatan Bumiputera atau buatan orang Cina mahu pun India, sebaliknya kebanyakan barang tersebut dibuat oleh syarikat multinasional.

“Jadi, sebagai rakyat Malaysia, kalau kita mahu menyokong barangan buatan Malaysia, kita kena beli barangan tersebut tanpa mengira ia buatan daripada orang Cina atau India.

“Namun, sebagai rakyat Malaysia (tanpa mengira kaum), kita sepatutnya mengutamakan membeli barangan keluaran Bumiputera kerana merekalah yang kita kata sebagai ‘tangga ekonomi’ (economic ladder).

“Tangga ekonomi ini ada di peringkat terbawah. Jadi kalau kita (sesama masyarakat) menolong membeli barangan buatan Bumiputera, secara langsung kita akan membantu membangunkan masyarakat Bumiputera,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Ameer berkata demikian ketika ditanya sejauhmana kempen membeli produk Muslim boleh menjejaskan produk bukan Bumiputera dan sama ada ia satu persaingan sihat dari segi pemasaran.

Beliau berpendapat kempen tersebut dilihat sebagai suatu yang tidak sihat memandangkan Malaysia terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.