‘Sokong RCI Memali jika jelaskan amanat Hadi’

‘Sokong RCI Memali jika jelaskan amanat Hadi’

Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Memali harus memfokuskan siasatannya terhadap dakwaan bahawa tindakan Ustaz Ibrahim Mahmood dan pengikutnya ini adalah didorong oleh Amanat Banggol Peradong yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Benarkah ini yang meyakinkan mereka dan mempengaruhi mereka untuk menentang Kerajaan BN sebagai jihad, dan kalau mati, mati mereka adalah syahid,” kata Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed.

Jika Amanat Banggol Peradong ini betul mengikut hukum syarak katanya, maka wajarlah seluruh umat Islam (bukan Pas sahaja) memuji dan berbangga dengan peristiwa Memali ini, keluarga mangsa tidak perlu berdukacita dan menuntut apa apa pembelaan kerana mangsa telah mencapai anugerah dan maqam tertinggi di sisi Allah.

“Tidak ada gunanya kita meratap hiba dan bersedih dengan apa yang berlaku di dunia ini, sedangkan mangsa telah mendapat anugerah yang tidak ternilai di sisi Allah,” katanya.

{loadposition myposition}

Sebaliknya menurutnya, jika didapati amanat ini tidak betul, maka kerajaan hendaklah mengambil tindakan yang sewajarnya ke atas Abdul Hadi kerana amanatnya yang menyalahi hukum syarak dan membahayakan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

“Jika didapati tindakan Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya adalah salah di segi hukum syariah dan undang undang, Pas hendaklah bertanggungjawab dengan membayar diyat kepada keluarga anggota polis yang terbunuh kerana pembunuhan secara khilaf (qatl al khata’) oleh penyokong tegar Pas akibat terpengaruh dengan kata kata pemimpin utama Pas,” katanya.

Walaupun peristiwa Memali sudah 32 tahun berlalu, Amanah Kelantan katanya bersetuju RCI ini ditubuhkan demi keadilan kepada mangsa mangsa dari kedua dua belah pihak yang terlibat meskipun di segi kewajarannya sudah amat terlewat.

“Peristiwa ini hendaklah ada satu penyelesaian dan keputusan yang muktamad dari segi undang undang dan hukum syariah ke atas semua perkara yang ada kaitan dengan peristiwa ini supaya ianya tidak lagi ditimbulkan dan diungkit kembali secara bermusim bila ada kepentingan politik bagi Pas ataupun Umno,” katanya.

Beliau berpendapat siasatan ini hendaklah memfokuskan dalam mencari jawapan sama ada tindakan kerajaan dalam peristiwa ini menyalahi undang undang negara.

“Atau apa yang dilakukan oleh Allahyarham Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya adalah mewajarkan kerajaan mengambil tindakan sedemikian?

“Jika didapati tindakan Kerajaan pada masa itu adalah di luar batas undang-undang, kerajaan sekarang hendaklah bertanggungjawab dengan kecuaian tersebut dan membayar gantirugi sewajarnya kepada semua mangsa yang terlibat dan kerugian kerugian lain yang difikirkan patut dan mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat,” katanya.

Menurutnya, tindakan kerajaan melalui pegawai-pegawainya yang terlibat pada masa itu tidak boleh dianggap satu perbuatan jenayah jika ia telah bertindak dengan suci hati sebagai penjawat awam.

“Walau bagaimanapun kerajaan boleh mengambil tindakan tatatertib jika ternyata tindakannya telah dibuat secara salah atau cuai termasuk memotong pencen yang dibayar atas jawatan tersebut seperti Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan sebagainya.

“Sabitan jenayah hanya boleh dikenakan jika mereka telah bertindak di luar kehendak undang undang atau menyalahgunakan kuasanya sebagai penjawat awam,” katanya.

CATEGORIES
TAGS