Sokong RUU 355 pandangan peribadi bukan kerajaan negeri, kata Exco

Sokong RUU 355 pandangan peribadi bukan kerajaan negeri, kata Exco

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim hari ini menjelaskan kenyataan beliau mengenai cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 baru-baru ini, adalah bersifat pandangan peribadi.

Abd Mutalip berkata kenyataan terbabit tidak mewakili pandangan kerajaan negeri Johor malah kerajaan negeri juga tidak pernah membincangkan mengenai soal pindaan tersebut di dalam majlis mesyuarat kerajaan negeri.

“Merujuk laporan media mengenai cadangan pindaan itu, saya ingin menegaskan bahawa kenyataan saya adalah pandangan peribadi dan tidak mewakili pandangan kerajaan negeri.

“Pandangan tersebut dibuat sebagai seorang yang beragama Islam dan sentiasa mendukung peningkatan syiar Islam,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Abd Mutalip berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataannya sebelum ini yang disalahtafsirkan pemberita seolah-olah menyatakan kerajaan negeri menyokong cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 sedangkan kerajaan negeri tidak pernah membincangkan soal tersebut.

Pada Ahad, Abd Mutalip yang ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Teknologi Pengurusan Patuh Syariah di Politeknik Metro Johor Bahru, di sini, berkata cadangan meminda akta tersebut perlu dalam memastikan jenayah yang berkaitan dengan masyarakat Islam dapat dibendung.

Beliau berkata Akta 355 tidak akan mempengaruhi masyarakat bukan Islam dan mereka tidak perlu takut akan pelaksanaan akta terbabit.

Abd Mutalip berkata pindaan berkenaan perlu dilaksanakan berikutan peningkatan kes jenayah yang semakin membimbangkan dalam kalangan umat Islam.

“Kalau kita lihat, undang-undang enakmen jenayah syariah sedia ada tidak langsung membawa keinsafan kepada pelaku jenayah, sebab itu judi berleluasa, minum arak, maksiat dan sebagainya kian menjadi-jadi dalam kalangan orang Islam.

“Islam itu agama Allah dan untuk menjaga kesucian agama Allah, perkara ini (pindaan) perlu dilaksanakan bagi menghalang perkara tidak sihat ini daripada terus berlaku,” katanya.

Pada 24 November lalu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat untuk memperkasakan Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah.

RUU itu bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang turut dikenali Akta 355.

TAGS