Malaysia Dateline

Sokong SPRM tubuh pasukan khas kembalikan wang rakyat

AMANAH Kelantan menyokong penuh usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM) menubuhkan pasukan petugas khas baru untuk menyiasat dan mendapatkan semula aset berkaitan 1MDB yang dianggarkan. RM20.75 bilion.

Ketua Pemudanya Hazmi Hassan berkata, usaha SPRM itu akan mengembalikan keyakinan terhadap tadbir urus negara seterusnya meningkatkan imej Malaysia dalam memerangi rasuah.

“Aset tersebut perlu segera dikembalikan agar dapat dimanfaatkan untuk program pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Pasukan petugas khas ini membuktikan skandal 1MDB benar-benar memberi kesan buruk kepada ekonomi dan imej negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kata Hazmi lagi tindakan bersekongkol dengan perompak wang rakyat (1MDB) adalah satu kecurangan yang tidak boleh dimaafkan.

Hari ini Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki dalam kenyataannya memaklumkan suruhanjaya itu akan menubuhkan sebuah pasukan khas bagi mendapatkan semula aset bernilai kira-kira RM20.74 bilion yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd (SRC International) di luar negara.

Pasukan itu akan diketuai Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) dengan disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM.