Sokong tindakan tegas kepada penghasut perkauman

Sokong tindakan tegas kepada penghasut perkauman

Pihak berkuasa perlu segera mengambil tindakan tegas terhadap golongan pelampau dan ekstremis yang sewenang-wenangnya menyebarkan hasutan serta dakwah mengancam keselamatan dan keharmonian rakyat di negara ini.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, pihaknya menganggap mereka yang cuba mengeruhkan keadaan dengan mencipta suasana tidak harmoni, membangkitkan sensitiviti perkauman dengan niat melaga-lagakan antara semua pihak dalam negara, serta suka memaki hamun pemimpin negara, perlu segera dibendung oleh pihak keselamatan.

Katanya, sikap mereka yang berselindung di sebalik golongan kononnya cintakan agama, bangsa dan negara dengan bertindak melampau seperti menyebarkan video berunsur perkauman, berkongsi maklumat tidak sahih, membesarkan isu kecil, serta mewujudkan propaganda negatif amat dikesali.

“Hakikatnya mereka mempunyai agenda halus untuk menggugat keharmonian rakyat dan kestabilan negara yang kita kecapi selama ini. Kami juga mengharapkan agar semua pihak terutama pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memainkan peranan proaktif bagi membina suasana positif dan harmoni dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai pemimpin yang mewakili entiti bangsa, kaum, komuniti dan juga parti politik, kita perlu memahami perbezaan budaya, agama serta adat resam kaum lain yang berbilang bangsa seperti di negara kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, AMANAH Wilayah Persekutuan turut memuji tindakan yang diambil Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Abdul Hamid Bador dalam menangani isu sensitiviti perkauman sedang dimarakkan.

“Sikap tegas KPN (Hamid Bador) dalam menangani isu berkenaan amat berkesan dan sangat tepat pada masanya.

“Tindakan cepat dan tegas PDRM amat wajar berdasarkan kepada perkembangan suasana dalam negara yang semakin tidak menyenangkan semua pihak.

 “Dalam semangat dan suasana kita merayakan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan ke 62 tidak berapa lama lagi, tentunya keharmonian dan perpaduan antara rakyat berbilang bangsa di negara ini, sangat signifikan untuk kita sentiasa kekalkan kerana ia adalah tanggungjawab bersama,” katanya lagi.