Malaysia Dateline

Kamarudin Md Nor

Sokong tulisan khat, pelaksanaan perlu kajian, kata Bersatu Kelantan

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan bersetuju pada dasarnya kepada keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu bagi murid tahun 4, mulai tahun depan.

Pengerusinya, Datuk Kamaruddin Md Nor, bagaimanapun berpendapat pelaksanaannya perlu dikaji secara lebih terperinci dan sesuai pada tempatnya supaya tidak membebankan mana-mana pihak.

“Tulisan khat  adalah satu cabang seni dalam Islam, relevan dalam  pengajaran agama  namun tidak duduk paling atas dalam urutan  keutamaan silibus,  oleh itu wajar  di peringkat awal diperkenalkan  sebagai subjek elektif,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas isu berkenaan isu yang menjadi perbincangan hangat  dalam kalangan masyarakat di negara ini pada masa ini.

Isu berkenaan timbul  apabila Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan Jawi dalam buku teks (Bahasa Melayu) di semua sekolah termasuk Sekolah Jenis  Kebangsaan (SJK) Cina dan SJK Tamil.

Keputusan itu turut membabitkan pelaksanaan seni khat  ke dalam buku teks murid Tahun Empat menjelang tahun hadapan.

Kamaruddin yang juga Pengerusi Biro Pendidikan Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata, tidak timbul penolakan dari mana-mana pihak cuma pelaksanaannya sahaja menjadi pertikaian yang dianggap tidak kena pada tempatnya.

“Jika mata pelajaran itu dimasukkan dalam subjek agama Islam dan bukan Bahasa Melayu mereka yang bertentangan mungkin boleh menerimanya dengan baik,” katanya.

Beliau berkata, sebaliknya cadangan memasukkan dalam subjek Bahasa Melayu sebagaimana yang dicadangkan bermakna semua pelajar termasuk berketurunan Cina dan India wajib mengambilnya dan ini dianggap akan membebankan mereka.

Katanya,  selain itu kementerian berkenaan juga perlu mengambil kira apakah guru tulisan khat yang berkebolehan mengajar dalam subjek itu mencukupi atau sebaliknya.

“Saya berpendapat adalah sukar  bagi Kementerian Pendidikan untuk menyediakan guru yang mencukupi dalam tempoh yang singkat,” katanya.

— BERNAMA