Malaysia Dateline

Sokong usaha kerajaan halusi kawal selia Vape memastikan keselamatan pengguna

Dewan Perniagaan Vape Malaysia hari ini menyokong sepenuhnya usaha kerajaan untuk memperhalusi undang-undang kawal selia Vape di Malaysia agar keselamatan pengguna diutamakan selain mengelakkan penyalahgunaan Vape.

Presidennya, Syed Azaudin Syed Ahmad berkata, hal ini penting untuk mencapai standard industri peringkat antarabangsa seperti benua Eropah dan Amerika.

“Pihak Dewan sedar akan stigma dan stereotaip sebahagian masyarakat mendampakkan Vape sebagai konotasi negatif.

“Walaubagaimanapun, tidak boleh dinafikan bahawa Vape sebagai produk pengguna mendapat tempat di kalangan masyarakat di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu dan ini membuktikan bahawa ia bukan sekadar trend.

“Kewujudan banyak persatuan dan organisasi yang mewakili pihak peniaga, pihak pengguna, dan pihak-pihak lain berkaitan Vape membuktikan bahawa industri ini sudah menjadi lebih matang berbanding waktu sebelumnya,” katanya ketika Majlis Aidilfitri Bersama Media, di Matic hari ini.

Beliau turut berkata, Industri yang sebelum ini banyak dipelopori belia-belia terutamanya Bumiputera, telah menarik minat semua pihak terutamanya pihak korporat dan pelabur-pelabur dari dalam dan luar negara.

Oleh yang demikian, katanya, pengawalselian yang lebih rapi dan terperinci perlu untuk menjaga kepentingan semua pihak.

“Isu-isu seperti lesen, cukai, had penjualan, standard pengeluaran antara perkara yang perlu dititikberatkan.

“Pihak Dewan juga suka untuk berkongsi bahawasanya pemain-pemaian industri Vape tanah air amat berminat untuk bekerjasama selain mendapat khidmat nasihat daripada pihak kementerian dan agensi-agensi kerajaan dalam usaha penambahbaikan industri ini,” katanya.