Malaysia Dateline

Sokongan bersyarat PN ugutan kepada Ismail Sabri

Sokongan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) adalah bertentangan dengan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA) seperti di dalam surat pemakluman oleh Speaker Dewan Rakyat, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berpendapat suasana tidak stabil, aman serta kucar-kacir politik Malaysia akan berulang jika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terpilih sebagai Perdana Menteri.

“Ini bermakna MP PN telah membohongi YDPA di dalam surat akuan bersumpah mereka yang tidak menyatakan syarat.

“Tetapi seperti kandungan kenyataan media oleh Pengerusi PN, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menyatakan sokongan mereka adalah bersyarat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Mahiaddin yang kini Perdana Menteri Sementara menyatakan sokongan 50 Ahli Parlimen PN terhadap Ismail Sabri terdiri daripada 31 Ahli Parlimen Bersatu, Pas (18), Star (1) dan empat MP bebas yang pro PN adalah bersyarat.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, beliau yakin dengan syarat dan ugutan yang dibuat oleh PN kepada Ismail Sabri menjadikan Malaysia sedang dipengaruhi oleh politik peras ugut yang bercorak kumpulan mafia.

“Saya percaya berasaskan pergolakan politik dalaman Umno sebelum kejatuhan Mahiaddin sebagai PM sudah tentu Ismail sabri berdepan dengan peras ugut dan syarat yang tidak dilafazkan oleh kumpulan Presiden Umno,” katanya lagi.

LANJUT MENYUSUL