Malaysia Dateline

Sokongan kepada Anwar bukan kerjasama dengan pemimpin utama Umno

DAP berpendapat, pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau kini mempunyai sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu bukan hasil kerjasama dengan pemimpin utama Umno atau Pas.

Ini kerana, ketika kali terakhir veteran DAP, Lim Kit Siang bertemu Anwar sebelum beliau ke Sabah sejak 14 September lalu, Anwar berkata, beliau tidak berhubung dengan Datuk Seri Najib Razak atau Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau pemimpin Pas dalam usaha ini.

“Saya sedang melawat satu tempat yang istimewa dalam politik negara, Tambunan, semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan sidang media tengahari semalam mengenai beliau mempunyai cukup sokongan untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.

“Kali terakhir saya berjumpa Anwar adalah sebelum saya ke Sabah berkempen untuk calon-calon Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri Sabah, di mana Anwar telah mengatakan kepada saya yang beliau tidak berhubungan dengan mana-mana pemimpin Umno seperti Datuk Seri Najib Razak atau Datuk Seri Zahid Hamidi mahupun mana-mana pimpinan Pas dalam cubaan untuk mendapatkan semula mandat rakyat yang telah dirampas melalui konspirasi Langkah Sheraton pada bulan Februari 2020 yang telah menumbangkan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang baru berusia 22 bulan,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Menurut Kit Siang, beliau telah berada di Sabah sejak 14 September dan tidak berhubungan dengan Anwar sepanjang tempoh ini.

“Sidang media Anwar hari ini (semalam) datang sebagai kejutan kepada saya, seperti mana ia mengejutkan orang lain,” kata Kit Siang lagi.

Dalam kenyataan DAP sebelum ini, parti itu memberi jaminan kesemua 42 Ahli Parlimen parti itu akan memberikan sokongan kepada Anwar jika beliau mempunyai jumlah yang cukup untuk membentuk kerajaan.

UMNO TIDAK HORMAT MUHYIDDIN

Bagi beliau, apa yang diketahui ramai adalah hakikat yang ramai para pemimpin Umno sedang mahukan pilihan raya umum, kerana mereka percaya dengan bantuan Pas, mereka boleh mendapatkan semula kawalan dan hegemoni kerajaan persekutuan, malah, kerusi Perdana Menteri juga.

Bagi veteran DAP itu juga, beliau tidak terkejut jika ramai Ahli Parlimen Umno akan menyokong Anwar kali ini.

“Mereka tidak mempunyai sebarang hormat terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai seorang Perdana Menteri, yang pastinya menyedari hakikat yang beliau akan menjadi korban pertama dalam sebarang pilihan raya umum mengejut memandangkan tidak ada sesiapa pun yang akan menyokong beliau selepas pilihan raya ini.

“Malah, dalam Bersatu sendiri, terdapat pemimpin politik yang sedang memerhati jawatan Perdana Menteri.

“Namun, perkembangan politik semasa sedang berlaku dengan sangat pantas,” kata beliau lagi.

Katanya, Umno mungkin akan menyedari yang Pas akan keberatan untuk mengerakkan jentera politik mereka, memandangkan Pas kini melihat diri mereka sebagai “king maker” dalam arena politik negara.

“…pilihan politik mereka tidak terikat hanya kepada berkerjasama dengan Umno, memandangkan kini Muhyiddin dan Bersatu juga memerlukan kerjasama Pas untuk terus kekal wujud,” kata Kit Siang.