Malaysia Dateline

Sokongan kepada Kerajaan Perpaduan semakin kukuh

Kerajaan Perpaduan yang dibentuk termasuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu mewujudkan sebuah kerajaan stabil bagi mengelakkan gugatan politik sebagaimana pentadbiran PN – BN yang lalu.

Penganalisis politik Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sokongan yang diterima daripada GRS dan kemudian langkah politik Ahli Parlimen gabungan itu boleh mengukuhkan lagi Kerajaan Perpaduan serta kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menghadapi percaturan politik pada masa hadapan.

“Sokongan yang diterima Anwar Ibrahim akan menjadi lebih ‘solid’ apabila sokongan GRS ini sudah dinyatakan dan mereka (GRS) mahukan kestabilan politik untuk bergerak ke hadapan.

“Yang penting nanti sokongan tersebut akan memantapkan majoriti dengan jumlah sokongan dijangka melebihi 140 kerusi,” katanya kepada Malaysia Dateline.

PM Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup NACCOL semalam yang dihadiri kedua dua Timbalan Perdana Menteri semua Menteri yang berkaitan serta Ketua Setiausaha Negara

Menurut beliau, sekiranya mana-mana Ahli Parlimen termasuk daripada Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan Undi Percaya di Parlimen nanti atau tidak menyokong PM, maka ia hanya akan memberi implikasi negatif terhadap ahli politik itu sendiri.

Tambah Awang Azman lagi, masa depan politik seseorang itu terutamanya dalam partinya akan lebur.

Oleh itu katanya, tidak seharusnya wujud wakil rakyat yang bertentangan tujuan dengan keputusan majoriti pada 19 Disember ini.

“Wakil rakyat seperti ini tidak mahu bergerak ke depan tetapi masih lagi memikirkan bahawa kerajaan pada hari ini perlu ditukar, sedangkan ianya sudah diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja serta disokong pula secara blok parti” ujarnya.

Dr Awang Azman Awang Pawi

Bagi blok Borneo, kata Awang Azman, mereka akan mempunyai kuasa tawar-menawar yang tinggi selepas menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

Namun, beliau berharap mereka memberi laluan untuk kerajaan benar benar stabil terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuntutan.

“Memang blok Borneo mempunyai kuasa tawar-menawar yang tinggi sekarang ini tetapi (mereka) kena sesuaikan dengan bajet kerajaan yang ada.

“Tak boleh minta sesuatu di luar daripada kemampuan kerajaan misalnya peruntukan tambahan yang terlalu besar, dan memadai dengan keperluan semasa.

“Mereka boleh minta tambahan tetapi tidaklah hingga melampau, sedangkan realitinya bajet kerajaan itu sendiri tidak mencukupi dan mereka perlu realistik dengan hal ini,” tegasnya lagi.

Baca juga Bukan berpura-pura tapi ‘move on’, hormati titah Agong – Orang ramai ‘sekolahkan’ Presiden Pas