Sokongan masyarakat Cina terhadap kerajaan sentiasa dihargai,kata Wan Azizah

Sokongan masyarakat Cina terhadap kerajaan sentiasa dihargai,kata Wan Azizah

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa menghargai sokongan yang diberikan masyarakat Cina terhadap pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata ini jelas terbukti dalam pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat lepas di mana sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), RM15 juta untuk Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan RM12 juta untuk Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Cina yang telah mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum lepas dan telah memenangkan Pakatan Harapan,” katanya pada majlis makan malam sambutan ulang tahun ke-95 Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (DPCKLS) di Bangunan DPCKLS yang berstatus Warisan Kebangsaan  malam tadi, lapor Bernama.

Katanya, pada masa sama, kerajaan juga memberi jaminan bahawa kepentingan semua kaum di negara ini diambil kira.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berharap jalinan persahabatan di antara kerajaan dengan DPCKLS akan terus diperkukuhkan.

“Saya mengalu-alukan input DPCKLS dalam bidang pendidikan, budaya dan sosio ekonomi kaum Cina dalam usaha kita bersama-sama memajukan negara,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata usaha DPCKLS bekerjasama dengan pelbagai NGO yang merentasi sempadan kaum dan agama dalam pelbagai bidang membangunkan masyarakat Malaysia, harus dicontohi dan diteruskan.

Katanya, kerjasama ini termasuk menyokong usaha ke arah reformasi Parlimen, membawa isu-isu hak Orang Asli, pendidikan, dan membantu promosi kepelbagaian budaya dan kesenian di Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata jalinan kerjasama sedemikian akan membantu memperkukuh perpaduan antara pelbagai kaum di negara ini dan menjadikannya satu aset penting negara yang harus dipelihara.

“Saya amat menyokong usaha sebegini, yang merealisasikan aspirasi kerajaan Pakatan Harapan kepada pembentukan Malaysia baharu yang diimpikan, yang menyokong kerjasama erat antara kaum.

“Mari kita sama-sama runtuhkan tembok perkauman yang menghalang pembentukan rakyat Malaysia baharu yang bersatu padu,” katanya.

COMMENTS