Sokongan padu melahirkan wanita agen perubahan

Sokongan padu melahirkan wanita agen perubahan

Bersempena Hari Wanita Sedunia 2017 dengan tema _Be Bold For Change_, AWAN WP mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Wanita kepada semua wanita di Wilayah Persekutuan khususnya dan wanita di Malaysia amnya.

Peranan besar golongan wanita di dalam pembangunan negara memang tidak dapat dinafikan lagi. Wanita berperanan di dalam setiap institusi dari sekecil keluarga, sehinggalah di dalam negara bahkan dunia. Namun di era globalisasi, peranan wanita menjadi semakin mencabar, yang menuntut sokongan segenap peringkat dalam memastikan kesejahteraan mereka.
Sebagaimana maksud hadis, “wanita itu adalah tiang negara; bila baik wanitanya maka baiklah negara, dan bila buruk wanitanya maka buruk pula negara”.

Memahami keadaan yang dihadapi oleh warga kota Kuala Lumpur khususnya wanita, AWAN WP menggesa semua pihak untuk memberi perhatian utama kepada beberapa perkara berikut:

1. Bagi wanita berkerjaya, dasar dan polisi sokongan sosial perlu dipertingkatkan lagi bagi membantu wanita menyeimbangkan tuntutan di antara kerjaya dan keluarga. Pelaksanaan polisi yang mesra keluarga seperti waktu kerja anjal, pilihan bekerja dari rumah, tempoh cuti bersalin yang lebih panjang serta bebanan tugas yang bersesuaian, perlu diperluaskan kepada semua tahap dan status pekerjaan termasuk peringkat profesional.

2. Bagi wanita yang berdikari mengusahakan perniagaan, sokongan berkala dalam bentuk penyaluran ilmu dan modal oleh pihak berwajib amat perlu agar usaha golongan ini dapat diperkembangkan lagi. Bagi wanita di kalangan ibu tunggal,pehak berwajib mesti tingkatkan perhatian dan pembelaan bagi memastikan ahli keluarga golongan ini turut terbela.

3. Bagi wanita di kalangan warga gelandangan, keselamatan dan kesejahteraan mereka perlu diberi perhatian serius oleh pihak berwajib.. Sokongan murni masyarakat melalui pemberian bantuan makanan dan perubatan sahaja tidak memadai, sebaliknya langkah besar dari pihak kerajaan amat perlu untuk menangani permasalahan golongan ini. Bantuan tempat tinggal sementara di samping sokongan dalam bentuk melatih kemahiran tertentu amat perlu disediakan oleh kerajaan bagi membolehkan golongan ini keluar daripada kedaifan kepada kehidupan yang lebih berkualiti demi masa depan mereka dan anak-anak.

4. Dengan kadar jenayah yang semakin membimbangkan, polisi berkaitan pekerjaan dan polisi di tempat awam hendaklah dikaji dari masa ke semasa agar terus relevan dan dapat melindungi golongan wanita dan kanak-kanak dari kes-kes jenayah seperti gangguan seksual, pornografi, paedofilia, ragut dan lain-lain.

5. Menyedari cabaran dan tuntutan semasa yang dihadapi oleh wanita terutamanya di bandaraya, AWAN WP sangat menyokong agar jawatan utama di sektor awam dan swasta diperuntukkan untuk golongan wanita yang mempunyai kelayakan yang sepadan agar isu-isu wanita dapat diketengahkan dan diperjuangkan oleh wanita sehingga ke peringkat nasional. Perancangan kerjaya dalam sesuatu bidang hendaklah mengambilkira pembangunan dan latihan untuk melahirkan modal insan wanita yang berwibawa dari masa ke semasa.

Dengan langkah serius dan segera dari semua pihak yang prihatin bagi menangani isu-isu yang disebutkan, wanita pasti akan bangkit dengan berani untuk memandu agenda wanita melakukan pembaharuan. Sekaligus turut sama menjadi agen perubahan kearah negara yang lebih progresif dan sejahtera.

Selamat Hari Wanita Sedunia 2017

Hjh Dr Niekmah Adam
Ketua Wanita
Angkatan Wanita Amanah (AWAN)
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

TAGS