Malaysia Dateline

Sokongan PN kepada Ismail Sabri sebagai PM adalah bersyarat

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yasin menegaskan sokongan gabungan politik itu kepada Naib Presiden Umno, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri adalah bersyarat.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, Ismail Sabri hendaklah memastikan ahli jemaah menteri yang bakal dilantik terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.

“Kerajaan PN di bawah pimpinan beliau (Ismail Sabri) juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan,” kata Mahiaddin dalam kenyataan hari ini.

Seramai 114 ahli Parlimen terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini.

Pertemuan dalam lima sesi itu bermula jam 10 pagi dan berakhir pada pukul 4.20 petang dengan 18 Ahli Parlimen Pas diketuai Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Mahiaddin yang juga Presiden Bersatu berharap pelantikan Perdana Menteri yang baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat menurut ketetapan Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 apabila tiba masanya,” tambahnya lagi.