Malaysia Dateline

Dr Mohammad Redzuan Othman

Sokongan rakyat kepada PH menurun bukan perkara luar biasa

Timbalan Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman menyifatkan sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH) yang mula menurun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan perkara luar biasa.

Menurutnya, situasi sama turut dihadapi di mana-mana kerajaan sekali pun yang mengalami perubahan kerajaan.

“Ia bukan perkara luar biasa kerana perubahan kerajaan di mana-mana negara sekali pun menunjukkan pola yang sama.

“Rakyat nyatakan kegusaran terhadap isu kehidupan yang berkait rapat dengan mereka, namun kebanyakan kajian menunjukkan hanya dalam penggal pertama pemerintahan populariti merosot, dan kembali meningkat dalam penggal kedua,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Bengkel Penyelidik Efektif Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Alor Setar hari ini.

Dr Mohammad Redzuan berpendapat kegagalan menunaikan janji manifesto, kenaikan harga barangan serta ketidakstabilan harga komoditi antara pelbagai penyebab sokongan rakyat menurun kepada PH.

Ujarnya, hasil kajian pihaknya mendapati rakyat memang mengharapkan sesuatu yang lebih baik selepas memberi kepercayaan kepada PH menerajui negara.

Dalam masa sama jelasnya, penurunan sokongan rakyat itu turut berlaku atas dasar naluri manusia yang mahukan perubahan dalam tempoh singkat.

“Bagaimana mahu selesaikan masalah berpanjangan selama 60 tahun hanya dalam tempoh sembilan bulan? Ia perlukan masa, namun naluri manusia mahu perubahan segera dilakukan,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan baharu juga telah memberi kebebasan media seluas-luasnya sehingga mereka membentuk pemikiran rakyat bahawa terdapat harapan belum ditunaikan. –