Solat hajat untuk Ashraf esok di seluruh Perak

Solat hajat untuk Ashraf esok di seluruh Perak

Esok semua masjid dan surau diri Jumaat di Perak akan mengadakan solat hajat bagi memohon petunjuk Allah dalam usaha mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang sejak 23 Mac lalu semasa perlumbaan Gopeng Ultra Trail.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin, solat hajat sejurus solat Jumaat itu diputuskan selepas pertemuan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri hari ini.

Ujarnya, pihak bomba meminta agar masjid di daerah Kampar dapat mengadakan solat hajat untuk memudahkan operasi pencarian mereka.

“Namun saya fikir, lebih baik jika semua masjid dapat melakukan usaha yang sama.

“Oleh itu, esok semua masjid di seluruh negeri diminta mengadakan solat hajat ini dan diharap usaha tersebut dapat membantu semua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian berkenaan,” katanya.

Pada 23 Mac lalu, Ashraf yang memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer disedari hilang selepas tidak tiba di garisan penamat.

Ashraf yang merupakan pembantu makmal Klinik Kesihatan Daerah Muar, Johor itu dikatakan berada pada kedudukan 10 peserta teratas dalam pertandingan tersebut.

Beliau bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi 23 Mac dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama.

Mangsa dipercayai hilang dari ‘check point’ enam hingga 10 iaitu kira-kira 10 kilometer dan setakat hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) hanya botol airnya yang ditemui.

Operasi SAR terbabitmenyaksikan penglibatan lebih kurang 800 orang daripada pelbagai agensi antaranya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan orang kampung.

Walau bagaimanapun, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) ditutup bermula jam 1 tengah hari, 30 Mac lalu selepas pencarian dijalankan selama tujuh hari di semua lokasi.