Malaysia Dateline

Solat hajat untuk Najib di semua 191 bahagian, kata Ketua Pergerakan Wanita Umno

Pergerakan Wanita Umno akan mengadakan solat hajat di semua 191 bahagian parti bagi mendoakan keselamatan dan keadilan buat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang ditahan oleh Pasukan Petugas Khas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di kediamannya di Jalan Langgak Duta hari ini.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, pihaknya berasa dukacita dengan penangkapan tersebut dan mendesak supaya bekas Presiden Umno tersebut dibicarakan secara adil dan telus oleh pihak berkuasa.

“Sebagai seorang rakyat yang telah banyak berjasa kepada negara, Wanita Umno mendesak supaya beliau diberikan hak sepenuhnya kepada perbicaraan yang telus, adil dan diberi layanan yang seharusnya dalam proses penahanan dan pendakwaan.

“Insya-Allah, Wanita Umno akan mengadakan solat hajat di semua 191 bahagian (Umno) untuk mendoakan keselamatan dan keadilan buat Datuk Seri Najib yang telah banyak berjasa kepada bangsa dan negara. Saya menyeru semua ahli Umno terutamanya Wanita Umno supaya tenang menerima perkembangan terbaharu ini dan terus berdoa supaya Umno dan ahli-ahlinya terus diberi perlindungan Allah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam Pasukan Petugas Khas 1MDB dalam satu kenyataan mengesahkan penangkapan Najib dan memaklumkan bahawa pendakwaan berkaitan kes SRC International Sdn. Bhd. akan dijalankan  di Mahkamah Kuala Lumpur jam 8.30 pagi hari ini.