Malaysia Dateline

Solat jemaah di masjid, surau tetap tidak dibenarkan, kata PM

Walaupun kebanyakan aktiviti termasuk kedai makan di buka mulai 4 Mei ini, kerajaan memutuskan solat berjamaah di masjid dan surau masih tidak dibenarkan.

”Aktiviti kegamaan seperti perarakan keagamaan, solat Jumaat dan semua aktiviti berjemaah atau berhimpun di masjid, surau dan rumah-rumah ibadat juga tidak dibenarkan,” kata Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya hari ini.

Turut tidak dibenarkan adalah majlis-majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan
perhimpunan ramai seperti kenduri, rumah terbuka, majlis berbuka puasa beramai-ramai, konsert, persembahan kebudayaan, perhimpunan bulanan jabatan kerajaan dan swasta serta semua bentuk majlis perasmian dan perhimpunan.

Turut tidak dibenarkan adalah perjalanan rentas sempadan negeri juga tidak dibenarkan kecuali untuk tujuan hadir bekerja dan pulang semula ke rumah sendiri setelah terkandas di kampung atau di tempat-tempat lain.

“Perjalanan rentasnegeri untuk balik ke kampung semasa cuti perayaan Aidilfitri tidak dibenarkan,” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Agama, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mencadangkan agar kerajaan membenarkan solat jamaah di di surau dan masjid tetapi dengan peraturan yang ketat.

Kebenaran ini pula hanya dicadangkan untuk di zon-zon hijau atau yang telah dikenalpasti bebas dari jangkitan Covid-19 dan selamat.

Dalam satu kenyataannya kepada Malaysia Dateline, Naib Presiden AMANAH itu berkata, langkah ini perlu diambil bersama-sama dengan langkah keringanan bagi membuka semula kegiatan ekonomi dan sosial di kalangan rakyat.