Malaysia Dateline

Solat Jumaat di zon hijau Covid-19: Apa ijtihad Menteri Agama?

Pemuda AMANAH Perak mencadangkan kerajaan membenarkan solat Jumaat seminggu sekali di kawasan yang telah mencapai zon hijau dan selamat daripada wabak Covid-19.

Pengerusi Biro Dakwah, Ahmad Saqif Ansorullah berkata, kebenaran berjemaah dan berterawih dengan bilangan had dan SOP tertentu perlu dimulakan jika keadaan sesuai dan mengizinkan.

“Keseimbangan antara memahami fiqh waqie’ amat diperlukan. Masjid boleh menyediakan alat pengukur suhu dan prosedur alatan atau tempat nyahkuman yang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berpendapat amat malang tiada pengisytiharan kebenaran menjalankan solat Jumaat yang hanya seminggu sekali dalam pengumuman media Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sentiasa dikemaskini.

“Kenapa tiada kemaskini ijtihad atau perbincangan pihak Kementerian Agama dengan pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) bagi memastikan syiar Islam ini tetap tertegak?

“Bukankan sudah berbeza ‘illat’ yang mana sudah ada kawasan hijau? Meskikah dipukul rata dengan hukum yang sama sedangkan setiap kawasan berbeza dan ada kawalan ketat keluar masuk?” hujahnya.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak memaklumkan terdapat 15 mukim yang disenarai sebagai Zon Hijau di negeri itu mencatat rekod baik apabila tiada kes positif baharu COVID-19 dikesan dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

Turut diberitahu 59 mukim lagi merekodkan sifar kes dalam tempoh 28 hari.

Bagaimanapun, empat mukim iaitu di Ipoh, Taiping, Batang Padang dan Pengkalan Baharu masih mempunyai kes Covid-19 dalam tempoh 14 hari manakala Hilir Perak dan Kinta kekal sebagai kawasan Zon Merah.

Mengulas Ahmad Saqif, masjid wajar kembali diimarahkan sebagai tanda kebergantungan kepada Allah dalam memohon perlindungan dan keampunanNya.

“Kita sudah tujuh minggu tidak ada khutbah, sudah tiada doa berjemaah melebihi 40 orang, sudah tidak ada dibenarkan berterawih meskipun bertiga antara pegawai masjid (imam, bilal, dan siak) di Negeri Perak ini dan umumnya berlaku seluruh negara.

“Malaysia mungkin menjadi negara pertama yang benar-benar berjaya membendung wabak Covid-19. Biarlah antara rahsia kejayaan yang enak dibawa cerita kepada dunia, adalah salah-satunya yang utama dengan kembali dibuka masjid sebagai syiar penting agama Islam,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar Menteri Agama, mufti dan KKM membincangkan kebenaran solat Jumaat.

“SOP bagaimana yang hendak diterapkan pasti dipatuhi oleh rakyat marhaen seperti kami. Asalkan rumah Allah ini kembali diimarahkan,” tambahnya lagi.