Malaysia Dateline

Solat Jumaat: Kerajaan Melayu Islam jadi bisu dapat ‘ghanimah’?

Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi, seluruh negara sudah menunjukkan angka positif dalam usaha membendung wabak Covid-19. Perak adalah antara negeri bebas kes Covid-19.

Hospital di seluruh Perak juga dilaporkan sudah bebas dari pesakit Covid-19. Terima kasih kepada semua pihak terutama pejuang barisan hadapan di atas pengorbanan mereka.

Seiring dengan laporan positif tersebut, kerajaan Pusat telah mengumumkan beberapa inisiatif baharu dengan membuka hampir semua sektor ekonomi untuk kembali beroperasi.

Pihak Kerajaan Negeri Perak juga telah melonggarkan sedikit demi sedikit arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kepada sektor-sektor yang dilihat sebagai penting untuk negeri, selari dengan arahan daripada pihak kerajaan Pusat.

Meskipun begitu, masing-masing sektor pastinya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terkini yang telah ditetapkan.

Pastinya keperluan utama negara pada masa ini adalah untuk menjaga keseimbangan antara membendung penularan Wabak Covid-19 dan memacu kembali ekonomi negara yang merudum teruk akibat musibah global ini.

Meskipun begitu, terdapat juga suara-suara kebimbangan tentang ‘exit strategy’ yang diterapkan kerana bakal menentukan masa depan negara sejauhmana mampu keluar secara total daripada musibah ini.

Turut dibenarkan menjalankan aktiviti sukan yang tidak melibatkan bersentuhan secara terus seperti golf, badminton, boleh makan di restoran dengan mengamalkan penjarakan sosial, tiga atau empat orang satu meja, dan banyak lagi kelonggaran diwartakan.

Bahkan yang paling menjentik hati rakyat apabila kedai judi toto magnum juga sudah mula beroperasi dengan SOP-nya.

Rakyat masih terpinga-pinga daripada pengumuman itu, kerana episod malang bagi umat Islam di Malaysia masih berterusan. Mengapa masjid masih ditutup? Mengapa solat Jumaat masih tidak dibenarkan?

Adakah orang yang ke masjid tidak boleh dipercayai untuk dapat melaksanakan SOP dan mengamalkan penjarakan sosial?

Di sinilah pentingnya dasar pemikiran seorang pemimpin atau sesebuah Kabinet dalam menentukan keutamaan atas keputusan perjalanan negara. Namun, apalah yang boleh kita harapkan sangat dengan kerajaan yang dibentuk tanpa dasar teguh dan tanpa manifesto ini.

Bagi Kerajaan Negeri Perak, di manakah peranan Exco Agama daripada Pas, yang harus terkehadapan dalam menyelesaikan isu-isu yang melibatkan umat Islam?

Masjid yang menjadi pusat sehenti bagi umat Islam harus dilihat sebagai syiar utama Islam yang mesti ditegakkan.

Pas yang kini sebahagian kerajaan PN didesak memperjuangkan solat Jumaat sebagai syiar Islam.

Kenapa menjadi ‘pembisu seribu bahasa’, dan adakah memadai diam kerana sudah mendapat ‘ghanimah’? Perjuangkanlah syiar Agama Allah ini sebagaimana sewaktu pembangkang, Pas Peraklah yang paling lantang dalam isu BMF (Buy Muslim First) yang kini sudah “diam seribu bahasa seperti RUU355”?.

Pemuda AMANAH Kawasan Lumut mengambil pendirian tegas bahawa perlunya suara desakan ini dilaungkan, dan diadakan perbincangan dan kajian antara pihak-pihak berwajib bagi membenarkan dibuka kembali masjid di kawasan Zon Hijau dengan SOP yang ketat dan sesuai.

Umat Islam rata-ratanya sudah mula bersuara tentang isu masjid ini. Kecewa dengan sikap kerajaan yang tidak memandang tinggi masjid sebagai kunci kesembuhan penyakit umat.

Ramadhan bulan keberkatan, bulan penuh rahmat dan maghfirah (keampunan). Semoga Allah SWT. sudi mengampunkan kita semua atas kelemahan kita, dan memberi jalan keluar daripada musibah ini.

“Islam Rahmat Untuk Semua”

*Penulis adalah Ketua Pemuda AMANAH Kawasan Lumut.