Malaysia Dateline

Solat ketika mendaki gunung, bukannya darurat, jangan saja-saja jamak

Ini tidak menyentuh perihal kaedah bagi mereka yang tidak solat namun berkongsi beberapa perkara berkaitan solat ketika dalam pendakian mahupun di kem.

Terbahagi kepada 4 kaedah dalam menunaikan solat yang biasanya diamalkan semasa pendakian:

1) Solat seperti kelaziman
2) Solat jamak (himpun) dan qasar (pendekkan)
3) Solat jamak
4) Solat qasar

Dalam semua kaedah diatas, setiap individu dalam trip mungkin perlu menunaikan dengan kaedah yang berlainan, atas sebab berlainan.

Kesukaran trip juga berlainan terhadap setiap individu. Mungkin ada yang rasa biasa-biasa dan ada yang rasa dah teruk sangat walhal dalam satu trip yang sama.

Solat jamak boleh dilakukan bagi yang bermusafir atau mereka dalam keadaan darurat. Mendaki tidak menjadikan kita dalam keadaan darurat kecuali hanya beberapa kes terpencil seperti ketiadaan air dan tiada tanda-tanda untuk menjumpai air. Hal ini biasanya terjadi dalam trip rintis, tersasar trek atau sebagainya.

Jadi, di dalam trip mendaki biasa, persediaan berwuduk untuk solat boleh dirancang daripada awal berbekalkan air botol atau spray bagi kawasan yang diketahui tiada punca air berpandukan tentatif program.

Jangan main langgar tanpa persediaan. Pewai lebih daripada rakan lain juga tidak menjadikan kita darurat bagi membolehkan kita saja-saja jamak solat.

Apatah lagi jamak solat kerana orang lain semua jamak. Namun, bagi yang bermusafir solat jamak adalah dibolehkan.

Seterusnya solat qasar hanya dibolehkan bagi mereka yang bermusafir. Jadi, jangan pandai-pandai buat Zohor 2 rakaat sebab mendaki gunung kalau tidak musafir. Kalau ada yang buat tolong ‘paw’ choki-choki dia kemudian beri tazkirah.

Jadi, yang tiada maslahah diatas, solatlah macam biasa sebagaimana di tempat lain. Nak mulakan solat atas gunung pun boleh bagi yang tidak solat, syok solat dalam hutan.

Terima kasih pada anggota pendakian yang selalu mengajak rakan-rakan bersolat.

Persediaan berwuduk untuk solat boleh dirancang daripada awal berbekalkan air botol atau penyembur.