Solat sunat Tarawih ambil masa 7 minit walaupun 23 rakaat, rupanya ini cara masjid nak tarik orang muda beribadah

Oleh MAISARAH AISYA

Kebiasaan solat sunat Tarawih mengambil masa paling kurang setengah jam jika melakukan lapan rakaat.

Ditambah pula bacaan ayat Al-Quran di bulan Ramadan ini banyak pahalanya dan pastinya ramai berebut untuk mendengar alunan merdu imam.

Lain pula kejadian di Indonesia apabila hanya melakukan solat sunat Tarawih sepantas 7 walaupun membuat 23 rakaat.

Kejadian tersebut dikatakan berlaku di Pondok Al-Quraniyah, Krangkeng, dalam wilayah Jawa Barat, lapor laman berita Tribunjabar.

Solat sunat digelar ‘Tarawih kilat’ itu ditunaikan dalam 23 rakaat dan hanya melibatkan masa antara 6 hingga 7 minit.

“Tradisi solat tarawih cepat ini sudah berlangsung lama. Dicetuskan oleh kakek (datuk) saya pengasas pondok ini,” kata pengajar di Pondok Mambaul Hikam, KH Muhammad Dliya’uddin Azzamzam.

Tarik minat orang muda solat berjemaah

Masjid yang menjadi lokasi solat itu dipenuhi dengan jemaah yang menunaikan solat sunat itu semalam, dengan kebanyakannya terdiri daripada golongan muda.

“Ya, sampai ke halaman masjid (bersolat),” kata pengurus pondok itu, KH Azun Mauzun.

Solat sunat secara pantas itu sudah diadakan sejak 2006 dengan tujuan untuk mengajak golongan belia memperbanyakkan ibadat di bulan suci Ramadan, lapor media tempatan.

Bagaimanapun rata-rata netizen di Malaysia tidak senang apabila melihat mereka bersolat seperti burung belatuk.

“Saya pernah baca tak boleh solat mcm burung belatuk, sekurangnya kena ada tomakninah, iaitu sempat membaca ‘subhanallah’.

“Tengok saja dah penat, kalau ikut mungkin hilang nafas,” komen pengguna media sosial.

“Lepas Isyak keluar pergi tandas, nak ambil wuduk balik, ingat sempat tarawih, sekali keluar masjid dah gelap,” ujar seorang pengguna berseloroh.

Baca juga: Baru tahu ini cara mandi wajib dengan betul, Ustaz Don tampil beri penjelasan lengkap