Malaysia Dateline

Solat Terawih, bazar Ramadhan dibenarkan

Solat Terawih, bazar Ramadhan dan bazar Aifitri adalah dibenarkan pada tahun ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail berkata, mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut membenarkan pelaksanaan solat Terawih secara berjemaah sepanjang bulan Ramadan kelak.

Namun begitu, beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu dipatuhi oleh semua pihak bukan sahaja peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri tetapi juga setiap pengunjung yang hadir.

Menurut Ismail Sabri, antara syarat-syarat yang ditetapkan bagi pelaksanaan bazar Ramadan dan Aidilfitri adalah lokasi di kawasan terbuka, menyediakan laluan sehala bagi pintu masuk dan keluar, pendaftaran MySejahtera di pintu masuk serta kawalan jumlah pengunjung.

“Waktu operasi yang ditetapkan adalah dari pukul 3 petang hingga 8 malam bagi bazar Ramadan dan pukul 10 pagi hingga 12 tengah malam bagi bazar Aidilfitri dengan SOP lain akan diumumkan kemudian kerana tempoh pelaksanaannya lambat lagi.

“Walau bagaimanapun, penetapan dari sudut lokasi, jumlah gerai serta saiz tapak akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri masing-masing.

“Sebagai contoh, hari ini kita mendengar cadangan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengadakan bazar Ramadan.

“Mereka sudah ada SOP yang lengkap dan secara dasarnya kita bersetuju, cuma DBKL akan umumkan nanti,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.