Solidariti Demi Keamanan akan diadakan Sabtu ini

Solidariti Demi Keamanan akan diadakan Sabtu ini

Mesyuarat khas hari ini yang disertai Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Agama di bawah Jabatan Perpaduan di Jabatan Perdana Menteri telah mengambil keputusan untuk mengadakan himpunan rakyat yang dikenali sebagai ‘Solidariti Demi Keamanan’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusuf berkata, melalui mesyuarat jawatankuasa khas itu telah sebulat suara untuk menganjurkan satu himpunan rakyat yang dijangka akan diadakan pada 23 Mac depan.

Katanya, walaupun hasrat untuk mengumpulkan NGO dan ketua-ketua agama mengadakan aktiviti bersama yang menjurus kepada  keamanan dan keharmonian  itu adalah program yang dirancang pada 2019.

Namun susulan insiden tembakan di Christchurch, New Zealand Jumaat lepas yang mengorbankan sekurang-kurangnya 50 nyawa program itu telah dipercepatkan untuk menunjukkan kepada dunia rakyat negara ini sangat cintakan kepada keamanan dan keharmonian.

“Dengan insiden di New Zealand dilihat sebagai satu peristiwa kebencian yang membawa kepada pembunuhan. Kami merasakan telah tiba masanya kita bertindak mengawal keadaan melalui mempromosikan ‘perdamaian’ adalah satu-satunya jalan terbaik. Bukan kebencian dibalas dengan kebencian.

“Perdamaian ini tidak boleh dilakukan seorang diri tetapi perlukan sokongan pelbagaikan pihak, biarlah suara kedamaiaan itu adalah jalan kehadapan dalam berhadapan dengan kepelbagaian agama dan suasana menghadapi pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab yang sengaja meningkatkan kebencian kaum dan agama dalam pelbagai penganutnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas selesai mesyuarat khas jawatankuasa itu yang diadakan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat yang berlansung selama dua jam itu turut dihadiri Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Al Bakri, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim,Timbalan Menteri Agama Fuziah Salleh, beberapa NGO, NGI dan ketua-ketua persatuan agama.

Menjawab pertanyaan media notis yang perlu diberikan sekurang-kurangnya 10 hari kepada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengadakan himpunan itu di Dataran Merdeka, beliau berkata, sedang mendapat maklumbalas kekosongan lokasi pada hari berkenaan.

Dr Mujahid yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Perpaduan dan Hah Ehwal Agama berkata,  mahu menjadikan program sedemikian  berterusan melalui kempen-kempen kesedaran, pendidikan, pemahaman nilai yang baik mengunakan platform jawatankuasa ini

Himpunan Solidariti Demi Keamanan ini akan diadakan pada jam 7.30 pagi dan beberapa siri syarahan daripada wakil NGO,NGI dan ketua agama akan mengisi program tersebut.,