Malaysia Dateline

Solidariti Kedamaian: Peserta himpunan bangga dengan usaha Malaysia

Peserta perhimpunan Solidariti Kedamaian, Solidarity 4Peace mula memenuhi kawasan Dataran Merdeka berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad, di lokasi acara itu berlangsung, di sini pagi ini.

Tinjauan mendapati mereka mula berkumpul antaranya di hadapan sebuah pusat beli-belah SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman sejak 6.40 pagi lagi.

Peserta veteran dari Singapore Cheng Ah Fook, 76, berkata solidariti kedamaian yang dianjurkan menarik hati beliau untuk menyertai perhimpunan hari ini.

Cheng Ah Fook, 76

Ah Fook yang tiba pada Selasa lepas berkata walaupun berseorangan tetapi penantian beliau tidak sia-sia.

“Saya sungguh sedih dengan tragedi yang berlaku di New Zealand. Kebetulan saya dapat tahu melalui sosial media bahawa Malaysia menganjurkan perhimpunan kedamaian sempena tragedi yang berlaku, saya ambil keputusan untuk hadir.

“Malaysia hari ini sangat aman. Saya gembira dan berpuas hati melihat pelbagai lapisan masyarakat yang hadir. Mereka bersatu padu.

“Di sini aman dan tiada kekecohan. Saya bangga dengan usaha kerajaan Malaysia. Saya suka Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian yang menambah dalam setahun lebih 20 kali beliau datang untuk melancong ke Malaysia.

Peserta berbangsa Singh Kamrinder Singh, 19, berkata penyertaan hari ini memberi makna untuk dirinya dan kedua ibu bapanya.

Kamrinder Singh, 19

Beliau dilihat hadir seawal jam 7 hari ini.

“Kita mahu keamanan, kita mahu kedamaian. Malaysia merupakan negara yang cantik penuh dengan persefahaman sesama agama.

“Kerajaan melakukan usaha yang sangat baik dan sebagai generasi muda, saya berharap perubahan ke arah bersatu padu berlainan bangsa dapat dikukuhkan.

“Sejarah kita yang lepas beritahu segalanya. Kita merupakan negara yang bersatu padu, menerima kerjasama perjuangan dari bangsa lain dan rela hidup aman bersama walaupun berlainan agama,” katanya.

Sementara itu Hafsah Syakirah Ahmad Kamil, 29 berkata perhimpunan hari ini untuk memberi sokongan pada mangsa rakyat malaysia yang cedera dan terkorban di Christchurch.

Hafsah Syakirah Ahmad Kamil, 29

“Kami nak mereka tahu, kami juga berasa sakit. Kami juga kecewa dan sedih. Kami rasa apa yang mereka rasa terutama apabila mereka kehilangan ahli keluarga.

“Perhimpunan hari ini memberi maksud yang baik. Kita semua memakai baju yang sama iaitu warna putih, jadi ia tidak melibatkan perbezaan parti politik. Kita semua satu dan sama,”katanya.

Beliau juga memuji usaha kerajaan menganjurkan perhimpunan solidariti ini kerana ia begitu bernilai untuk semua rakyat malaysia dan ini menunjukkan semangat kemanusiaan kerajaan dan rakyat Malaysia sendiri.

Peserta Teh Wah Wah, 60 tahun yang pernah menjadi warganegara New Zealand berkata beliau terkesan dengan tragedi berdarah yang pernah berlaku di tempat beliau menetap.

Teh Wah Wah, 60

Katanya, kehadiran beliau dan isteri hari ini memberi sokongan kepada kebebasan beragama dan menolak kebencian.

 

“Pertama sekali kita mahu hidup aman. Jadi saya datang beritahu kerajaan saya mahu hidup aman, saya begitu terkesan dengan apa yang berlaku.

“Melihat kehadiran peserta lain yang turut hadir, saya berasa sebak dan bangga dengan Malaysia,” katanya yang menambah beliau bersyukur kerana membuat keputusan untuk tinggal di Malaysia sebelum tragedi itu berlaku.

Hari ini buat pertama kali himpunan Solidariti Kedamaian diadakan di Dataran Merdeka susulan insiden yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch pada tengahari Jumaat pada 15 Mac lepas.

Himpunan Solidariti yang akan menghimpun rakyat Malaysia  hari ini bagi memutuskan tiga pendirian Malaysia terhadap insiden yang berlaku turut mengorbankan seorang remaja Malaysia Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi,17.

Manakala bapa Muhammad Haziq, Mohd Tarmizi Shuib juga cedera dalam serangan itu masih menerima rawatan dan dua lagi rakyat Malaysia yang cedera ialah Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad.

Solidariti Kedamaian anjuran Jabatan Perpaduan serta JawatankuasaMempromosikan Persefahaman Dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) dan beberapa NGO dan NGI serta ketua-ketua agama semua kaum di negara ini.