Malaysia Dateline

Solidariti pemimpin DAP hulur bantuan banjir di Tenom

Tenom antara daerah teruk terjejas dengan banyak kampung dinaiki air akibat banjir selepas hujan berterusan sejak petang 19 Mei lalu.

Ketika dunia sedang dilanda virus Covid-19, daerah kecil Tenom di Sabah kini ditimpa dengan satu lagi musibah.

Kedatangan banjir secara mengejut ini telah menjejaskan hampir 90 peratus perkampungan di daerah Tenom.

Sebagai tanda solidariti bersama rakyat Tenom, pemimpin-pemimpin DAP di seluruh negara telah bersama-sama menyumbangkan bantuan berbentuk wang tunai dan barang keperluan harian untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa bencana.

DAP Johor antaranya, telah menyumbangkan RM5,000 kepada Tabung Bantuan Kecemasan Banjir Tenom.

Pada masa yang sama, beberapa Ahli Parlimen DAP Johor iaitu Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, Teo Nie Ching (Kluang), Yeo Bee Yin (Bakri), Pang Hok Liong (Labis) serta Ahli Dewan Negara, Liew Chin Tong masing-masing turut menderma RM1,000 kepada tabung tersebut.

Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin juga tidak ketinggalan membantu mengumpul dan menyumbangkan barang-barang keperluan harian untuk mangsa banjir di Tenom.

Di samping itu, Pejabat Ahli Parlimen Seremban turut menyumbangkan RM5,000 kepada tabung tersebut.

Begitulah antara bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh wakil-wakil rakyat DAP di serata negeri kepada mangsa banjir di Tenom bagi meringankan beban mereka dalam meneruskan kehidupan.

Orang ramai yang ingin membantu mangsa banjir di Tenom, sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Bank Islam Tetuan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P181 Tenom (100 610 1000 2610).

Sumbangan anda akan disalurkan untuk membeli bekalan makanan dan minuman kepada mangsa yang terlibat.