Solidariti penyair bantah penyebab banjir kepala air

Oleh ARIF ATAN

Sewajarnya tidak hanya pihak seperti agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan atau individu bebas yang cakna dengan sebarang peristiwa atau tragedi yang berlaku dalam negara.

Para seniman dan budayawan juga perlu sedemikian, dan bertindak membantu atau pun bangkit menyuarakan pendirian, pandangan dan bantahan mereka. Jangan hanya berdiam diri seolah-olah pasrah sahaja menerima segala.

Namun begitu, sehingga kini hanya Seniman Paksi Rakyat (Paksi) sahaja kelompok sasterawan/budayawan yang cakna dengan tragedi banjir besar yang melanda banyak negeri di Semenanjung pada pertengahan Disember 2021 lalu. Pertubuhan atau persatuan-persatuan penulis lain sepi membisu!

Apakah mereka mereka tidak prihatin atau (ingin) mengambil tahu? Ataupun mahu peduli, tetapi tidak mampu berbuat sedemikian atas alasan ‘takut miskin’, dan mahu terus hidup.

Sememangnya, Paksi sentiasa cakna dengan bukan sahaja isu sastera budaya, tetapi juga sosial, ekonomi dan politik tanah air sejak penubuhannya pada 2008.

Tidak sekadar prihatin, tetapi menzahirkan pendiriannya dengan cara berseni seperti menerusi acara pembacaan puisi, dan pementasan teater.

Sebulan selepas tragedi banjir besar tersebut, terutamanya di Selangor dan Pahang, Paksi menunjukkan kecaknaannya dengan menganjurkan ‘Baca Sajak Banjir Balak Kepala Air’ di Kampung Baru Sungai Perdak, Karak pada 16 Januari lalu.

Pengacara tetap acara Paksi di sana-sini selepas pengunduran Raja Yusoff Ariffin dari Paksi, iaitu Shariffah Khadijah atau nama penanya, Sherie Aljufri bertindak sebagai Penerbit Pelaksana bersama-sama Jerry Tam Chin Pung (Penerbit Lokasi) acara berkenaan, dengan bantuan Ahmad Nizam Hamid, seorang peguam, dan kenalan Paksi dari Temerloh.

‘Baca Sajak Banjir Balak Kepala Air’ dijayakan bukan sahaja oleh penulis/penyair terkenal, malah beberapa penggiat masyarakat, agensi kerajaan negeri, badan bukan kerajaan, dan orang perseorangan juga.

Cuma malangnya, Ahli Parlimen Bentong, Wong Tack; Ahli Dewan Negeri (ADN) Ketari, Young Syefura Othman @ Rara, dan ADN Pandamaran merangkap Ahli Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew tidak dapat hadir atas halangan tertentu.

Yassin Salleh (kiri) dan Yasleh Rita Ayu.

Namun demikian, seperti sebelum ini, Paksi tidak menghiraukan pun sama ada ‘orang politik’ hadir atau sebaliknya (mungkir). Ia tetap bersemangat meneruskan acara berkenaan, dan itu turut mendorong hadirin juga peserti bukan ahli Paksi berperasaan serupa.

Dengan latar alam sekitar merangkumi Sungai Perdak, rumah-rumah yang hampir ranap, dan sisa-sisa kayu balak yang hanyut terdampar di tebing sungai tersebut, ‘Baca Sajak Banjir Balak Kepala Air’ berjalan lancar tanpa gangguan besar.

Menurut penduduk dari kampung berhampiran yang hadir, longgokan kayu balak yang ada di situ sudah berkurangan berbanding semasa tragedi 17-19 Disember itu.

Mantan wartawan TV3 yang kini lebih dikenali sebagai ‘Wartawan Tua’, iaitu Khaidir Ahmad juga memberitahu, kawasan tersebut, termasuk jalan raya memang dipenuhi kayu balak hanyut. Mujurlah jambatan yang ada di situ tidak musnah terputus dua!

Walau bagaimanapun, suasana pilu yang sudah berkurangan itu tetap mengharukan. Betapa dahsyatnya penangan kepala air!

Menurut Presiden Paksi, Datuk Che’ Shamsuddin Othman aka Dinsman, pada mulanya penganjur mahu menempatkan pemuzik latar, iaitu kumpulan Kreatif Akustika, bersama-sama para deklamator beraksi bergilir-gilir di atas timbunan kayu balak yang dijadikan pentas.

Namun begitu, masalah teknikal membantutkan hasrat tersebut. Sebenarnya, jelas Dinsman, anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpakaian preman yang turut hadir tidak membenarkan penggunaan pembesar suara.

Begitulah anehnya. Asal berkaitan dengan pembangkang atau Pakatan Harapan (PH) sahaja, deklamasi sajak pun dihalang, atau disusah-susahkan!

Akhirnya, hanya para deklamator sahaja, kecuali sutradara veteran Yassin Salleh, tampil beraksi di atas kayu-kayu balak tersebut. Mereka beraksi tanpa pembesar suara bukan kerana larangan PDRM, tetapi disebabkan (tegas Dinsman) oleh wayarnya tidak sampai ke timbunan kayu tersebut. Begitu pun, terhasil pemandangan yang unik!

Kreatif Akustika pula sekadar beraksi di anjung sebuah rumah mangsa banjir kepala air tersebut yang sedang dibaik pulih, mendendangkan lagu-lagu seperti ‘Apokalips’, ‘Mentera Semerah Padi’, dan ‘Berita Buat Kawan’.

Dinsman sendiri sebelum hari acara bermula telah kerap melaungkan di media sosial bahawa 16 Januari itu ialah hari kebangkitan bukan sahaja para penyair Malaysia, tetapi dunia menentang kemusnahan alam sekitar yang mengakibatkan pelbagai bencana, khususnya tragedi banjir kepala air di Kg Baru Sungai Derdak.

Timbunan balak hanyut menjadi pentas program.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dinsman bertanya mengapa kita harus takut kepada kerajaan, kerana kita yang memilihnya (walaupun kerajaan hari ini bukan pilihan rakyat, tetapi beliau memaksudkannya secara umum).

Dengan hak rakyat dan hakikat kewujudan kerajaan itu, tanya beliau lagi, mengapa pula kerajaan tidak boleh ditegur/dikritik jika melakukan kesilapan/kesalahan?

Secara keseluruhannya, deklamator yang tampil telah menyatakan bauran perasaan mereka menerusi sajak masing-masing terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab, dan hanya mementingkan keuntungan besar dengan kegiatan pembalakan yang tiada kesudahan – bagaikan kebal undang-undang.

Meskipun pihak kerajaan Keluarga Malaysia dan para penyokongnya cuba berdalih, tetapi hasil melihat gambar-gambar di media sosial, para penyair terbabit tahu dan pasti, penafian tersebut hanya pembohongan. Dengan hadir di lokasi dan melihat sendiri keadaan kayu-kayu balak yang ada, yang jelas itu memang nyata terserlah!

Dinsman turut mendeklamasikan sebuah sajak karya sutradara veteran, Yassin Salleh yang berjudul ‘Sementara Sang Jutawan Balak Terbang Bulan Madu ke Las Vegas, Sang Kuasawan Tolong Bawakan Beg Kondom dan Viagra Mereka. Sang Pedagang Fatwa dan Mantera Syurga Mengaminkan Doa’.

Pendeklamasian ‘Baca Sajak Banjir Balak Kepala Air’ dimulakan oleh Timbalan Presiden Paksi yang kini menetap di Kelantan, Kassim Muhamad dengan sajaknya, ‘Dengan Puisi Aku Bersegala’.

Antara baitnya termasuklah, dengan puisi aku berduka, aku membantah – aku mengajak. Orang boleh ketawa, puisi tak boleh berbuat apa-apa. Ia tak punya harga. Puisi tak punya harga. Puisi tidak laku walaupun sekadar membeli sekeping roti dan secawan kopi… Aku berduka, aku bersedih,aku bertanya, aku menyoal. Aku menyoal sambil menangis. Menangis dalam diri. Bingung. Bingung. Bingung. Aduh bingung. Kenapa negaraku sampai jadi begini./Bengong! Hey Si Bengong. Rasuah. Rasuah. Rasuah. Rasuah. Rasuah. Kata mereka. Rasuahlah puncanya./Ada puisi terus-terusan menyoal kenapa begitu ramai bijak pandai kelihatannya tidak sengsara jiwa raganya melihat kezaliman kita tidak dapat selesaikan masalah…/Hari ini, di atas timbunan duka nestapa orang lain, aku berpuisi. Biarlah seluruh dunia ketawa, aku terus menulis dan membaca puisi. Walaupun ilmu sekolahku dulu bukan tentang puisi tapi tentang hidrologi, permukaan tanah, hakisan, saliran dan pengairan, tentang struktur, beban dan sebagainya -… Kata-kata untuk berpesan kepada diriku bahawa manusia tidak boleh berpura-pura dan menipu alam seperti dia menipu orang lain dan dirinya sendiri.

Yassin yang berhalangan untuk berdiri dan menaiki timbunan kayu balak, mendeklamasikan sajak ‘Maka Dalam Kemarhaenan Sekaliannya Rakyat Elok-eloklah Menabur Benih di Huma di Kebun Kalian. Selepas Banjir Ini Kering Jalanlah Elok-elok ke Ladang PRU15’ di hadapan timbunan kayu balak itu sahaja, ditemani anak perempuannya, Yasleh Rita Ayu, yang turut mendendangkan sebuah lagu puisi, ‘Rindunya My Love’.

Antara bait sajak berkenaan termasuklah:

“Apa yang kita semai itulah yang kita tuai/kalau padi kepuk kita akan penuh berisi/kalau lalang durinya akan menikam kaki./Bagaimana kita menanam begitulah tegaknya pohon/kalau tegak lurus berdiri buahnya gugur di laman sendiri/kalau condong kanan-kiri buahnya gugur di laman orang./Di mana kita berhuma di situlah kita berkampung laman/jika berumah di tebing sungai hutan di hulu jangan diganggu/bukit bukau gunung ganang jangan dijarah jangan diserbu/nanti alam berduka cuaca jadi tak seimbang tak menentu.

“Hutan belantara sungai di hulu airnya mengalir ke hilir/hukum graviti tetap menghukum sesiapa yang mungkir/bila pohon ditumbangkan bukit-gunung dijarah ditarah/bila hujan tak tertadah kepala air akan menerjah ke lurah/sederasnya membasuh lumpur merempuh balak terkumpul/maka karamlah desa dan kota ramailah rakyat mati tenggelam.

“Maka ramailah jaguh-fatwa/melantik diri jadi penimbang hukum/Negeri itu-ini banjir sebab banyak maksiat/Negeri ini-itu banjir sebab banyak kilang arak/Negeri situ-sinun banjir sebab tak patuh syariah/Negeri sini-situ-sinun banjir sebab kurang ibadah.

“Tapi tak pernah pula sang penimbang dosa pahala itu/mengatakan banjir itu disebabkan oleh imbangan alam/diganggu digugat diceroboh diperkosa diremeh dilekeh/sebaliknya dilaungkan ke saentero dunia di United Nation/Malaysia tak terkesan oleh impak perubahan klaimet dunia/kerana Malaysia alamnya-lestari.”

Selepas Kassim, Anbakri Haron yang juga ahli Paksi sanggup datang dari Kota Bharu untuk mendeklamasikan sajak beliau, ‘Puisiku Kukibar dalam Hujan’.

Menurut seorang peneliti dari Indonesia, sajak ini menjadi lorong kejujuran, dari perasaan halus penyair. Ia, katanya, seperti risalah yang disuarakan, mengisi ruang-ruang bangunan moden, selain percaya penuh pada diri penyair.

Kita lihat antara baitnya:

puisiku/kukibar dalam hujan/yang berkobar adalah/api dari dalam/ia membara, membakar isi/puisiku/kulakar dalam kolam/lalu yang menggelepar/dan berkocak adalah/keris di pinggang/ia meronta.

“Mencari/telah puas aku menunduk/telah lama aku memujuk/bermohon ampun/namun rajukku/di arus sungai,/makin deras menghanyut/tak siapa yang peduli, berhenti menghulur tali/kini aku jebat!/yang berdiri tak terhalau di tengah bala/aku menyintak keberanian/lalu kuhunus keris melela/ke dada maharajalela/yang galak bèdalih, katanya/hutan di makan kepala air tak bergigi/derhakakah aku, apabila/aku menuntut hak/kembali ke pangkuan?/cengal disemai/meranti ditanam/kuing disulam/di celah selit/seraya kitam/salahkah aku berseru/segala pemberian konsesi dihenti!/adillah/pulangkanlah/alam ke alam/hutan ke hutan/haiwan ke haiwan/sungai ke sungai/keris ke sarung/pucuk ke pucuk/daun ke daun/bunga ke bunga/bumi ke bumi.”

Zukri Aksah dari Kuantan pula mendeklamasikan sajaknya, ‘Tuhan Mula Marah’ yang menurut peneliti sebagai amat kuat, dengan pilihan kata yang memikat, serta seolah-olah memerlukan kebijaksanaan tersendiri, untuk difahami agar kian jelas.

Perhatikan antaranya:

“Tuhan mula marah/Membawa bah balak patah/Ke ceruk daerah/Ramai fikir orang tak mengambil kisah/Iya… ini ceruk daerah entah apa-apa entah/Namanya tidak pernah masuk karangan sekolah/Tetapi nyatanya Tuhan tidak pernah salah/Tuhan mula marah/Membawa bah balak patah/Mengejut warga yang selalu menyanjung pemerintah/Bahawa pemerintah itu mulia lagi betul tingkah/….Tuhan yang marah/Membuka buta matamu/Membuka bisu mulutmu/Membuka pekak telingamu/Tuhan yang marah/Memberi restu kepada alam/Untuk membalas dendam/Atas kebodohan kamu yang diam/Tuhan yang marah/Membongkar segala kebejatan pemerintah/Memapar rakus nafsu penguasa yang serakah/Di atas setiap balak patah/

“Yang hanyut di dalam bah/Telah terlukis setiap wajah orang atas/Yang telah lama membuat alam cedera parah/…Kemudian bila alam tidak tertanggung/Menahan kesakitan/Ia bangkit melawan/Menerjah segala, melanggar semua/Termasuk kehidupan kamu juga/Punah-ranah tanpa sisa/Tuhan mula marah/Membawa bah balak patah/Merodok tanah, merodok rumah/Ceruk daerah yang entah apa-apa entah/… Apakah kamu sedang menangis/Meminta jawaban dari Tuhan?/Atau menyalahkan alam? Menyalahkan bah yang datang?/Kamu masih tidak terima perkhabaran?/Masih buta, bisu dan pekak untuk mengenal kata-kata Tuhan?/Bahawa penguasa, pemerintah dan orang atas/Sejak kemarin-kemarin itu lagi/Telah berdosa kepada alam/Telah berdosa kepada Tuhan.”

Sherie yang juga bertindak sebagai pengacara majlis tidak ketinggalan melontar suara mendeklamasikan sajaknya, ‘Mana Pohon Gadong?’

Cuba lihat bait-baitnya:

“Mana pohon gadong?/yang dulu menjunjung/hikmah rahasia Maha Agung/kini tak tertinggal biar cuma punting/pangkal tak terlindung/pucuk tak membumbung./mana pohon gadong?/tempat burung burung bersenandung/margasatwa bingung/habitatnya diselimut murung/rimbun hijaunya disodok dipancung/ungka kera monyet lotong/dulu nyaman di hutan kampung/eh? kini rupanya bertukar jadi pocong!/melompat lompat mengigal ngigal melolong lolong persis si polong/yang berjabat erat dengan profesor kangkung/yang naik mercedes lonjong/yang nyanyi lagu kong kali kong/benar dilelong dikongkong/onar disanjung dikokkong/bijak dibenam bawah kolong/baghal disanjung menggunung gunung./nyanyi!/nyanyi lagi kong kalikong/sini bedak sana untung/nyanyi lagi kong kalikong/sini senak sana kembung/nyanyiii!/ nyanyi lagi kong kalikong/sana pancung sini lencong/nyanyiiii!/nyanyi lagi kong kalikong/sanasini pukul gong/ jual nama jual agama jual kelentong/runtuh adab oleh bohong/lana maruah oleh jerung/nyanyiiii!/nyanyi lagi kong kalikong/senandung/kabilah bodohsombong/yang katanya adat dikendung/agama dijunjung.”

Tidak sahaja deklamator dewasa, dua orang kanak-kanak turut bersemangat untuk beraksi. Selain Haziq Fikri dari Kampung Chemomoi yang berhampiran, turut tampil ialah Putera, iaitu cucu Dinsman sendiri.

Walaupun telah berundur dari Paksi, tetapi Raja Yusof yang kini menjadi rakan pertubuhan itu turut tampil mendeklamasikan sajaknya, ‘Kucing di Bumbung, Manusia Tidak Merenung’.

Sementara itu, yang juga anak saudara Ishak Haji Muhammad @ Pak Sako, yang melihat sendiri semasa tragedi berlaku, turut mendeklamasikan sajaknya, ‘Puing-puing Air Mata Marhaen’.

Sajak karya Khaidir walaupun prosaik sebagaimana karya Kassim dan Zukri, turut keras menyelar para perosak alam, termasuk menyindir Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.