Malaysia Dateline

Solusi Dua Negara: Kebuntuan pelan damai Palestin

Hari ini, pesawat tentera Israel membedil kubu pergerakan Hamas di Genting Gaza selepas pihak rejim mendakwa penduduk Palestin telah melontar bahan letupan ke arah pagar sempadan ketika protes.

Selain itu, Kementerian Kesihatan di Gaza juga mengesahkan seorang penduduk Palestin meninggal dunia akibat kecederaan dalam pertempuran dengan rejim Zionis sebelum ini. Sampai bila Palestin harus terus dibiar dizalimi? Adakah Solusi Dua Negara mampu menawarkan cahaya damai di hujung terowong penderitaan  buat rakyat Palestin?

Solusi Dua Negara (Two States Solution) merujuk kepada pelan pembentukan dua negara dalam peta Palestin melalui aspirasi persempadan 1947. Pemimpin negara-negara Arab hanya bersetuju dengan persempadanan 1967, yang tidak dipersetujui oleh Israel.

Ini kerana, ia meletakkan Jerusalem sebagai milik Palestin. Solusi Dua Negara 1967 meletakkan Jerusalem sebagai ibukota Palestin. Manakala Solusi Dua Negara 1947 meletakkan status kota suci itu sebagai ‘corpus separatum’: kawasan yang dipegang kuasa antarabangsa.

Ibarat jatuh ditimpa tangga – tanah dirampas, kemudian diserahkan pula pada pihak lain. Walaupun Israel tidak pernah menunjukkan persetujuan mahupun kesungguhan, hampir kesemua negara-negara dunia menyokong pelan damai tersebut, termasuk Malaysia.

PLO (Palestinian Liberation Organization) turut menyokong pelan damai ini. Namun, hanya untuk menunjukkan kesungguhan mereka terhadap penyelesaian yang lebih konkrit iaitu bukan persetujuan muktamad.

Kemenangan Hamas dalam pilihan raya secara legislatif pada Januari 2006 di Gaza, mengubah keberkaitan solusi ini. Hamas berpendapat jika Israel mahu serangan dihentikan dari Gaza, mereka mesti berundur dari meja rundingan.

Seterusnya membenarkan pelarian Palestin pulang ke kampung halaman masing-masing. Pelan damai ini akan membuatkan rakyat hilang milikan secara langsung dengan tanah asal. Pendek kata, jutaan pelarian yang ada pada hari ini akan bermastautin kerana mereka telah kehilangan kampung halaman masing-masing.

Israel mahukan Palestin secara total. Ini boleh dilihat jelas melalui penempatan haram Yahudi diluar garisan sempadan yang dicadangkan. Berikutan Perang Enam Hari pada 1967, penempatan Israel mulai wujud di Semenanjung Sinai (milik Mesir), Gaza dan Tebing Barat.

Namun, mereka berundur dari Sinai dan Gaza sehingga 2005. Walau bagaimanapun, Israel tetap berselera ‘menjamah’ Tebing Barat sehingga kini dengan membiarkan penempatan haram Yahudi berleluasa. Jika dilihat daripada taburan penempatan dan jajahan Israel (dalam konteks pelan Solusi Dua Negara), Palestin hanya menguasai 2/3 dari Tebing Barat.

Selebihnya telah dijajah Israel. Manakala secara keseluruhan, Palestin hanya tinggal 1/3 dari tanah asal. Tidak cukup dengan menjarah Tebing Barat, rejim Zionis meneruskan aktiviti ketenteraan dalam garis sempadan milik Palestin.

Pada Ogos 2017, Datuk Seri Anifah Aman mendesak Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menguatkuasakan Resolusi 2334 (resolusi menyekat penempatan haram Yahudi). Resolusi 2334 disokong majoriti ahli majlis (kecuali US), tidak menetapkan sebarang sekatan atau tindakan menunjukkan ‘kemandulan’ badan dunia itu dalam melahirkan penyelesaian muktamad terhadap kemelut ini.

Walaupun berdepan dengan kesukaran dan tekanan, Israel terus mengembangkan jajahan mereka melalui penempatan haram di Tebing Barat. Pendirian ini diteruskan oleh pimpinan ‘Malaysia Baru’ melalui Datuk Saifuddin Abdullah.

Rata-rata rakyat Palestin tidak percayakan mana-mana badan dunia yang berjuang secara diplomasi bagi pihak mereka. Banyak resolusi dan pelan damai telah dirangka dan diundi, namun tiada sebarang pelaksanaan.

Mereka sudah jemu dan muak dengan Solusi Dua Negara yang dianggap sejenis ‘kepura-puraan’ mengaburi mata dunia dari kesengsaraan sebenar. Apatah lagi, pelan damai itu akan membuatkan lebih ramai rakyat merempat.

Sungguhpun menentang, kebanyakan negara masih berurusan dengan Israel: antara karektor ‘tikam belakang’ bagi Hamas. Tebing Barat masih diceroboh dan dijajah rejim Zionis.

Gaza pula berdepan dengan sekatan dan ancaman perang berpanjangan. Israel langsung tidak menunjukkan komitmen terhadap mana-mana pelan damai. Pmbinaan tembok tinggi sepanjang garisan sempadan Israel dan Palestin pula diibaratkan ‘membunuh’ sebarang rundingan.

Jika Israel dianggap ‘memenuhi’ syarat penyelesaian, mereka pula menindas Palestin sehingga tidak mampu ke meja rundingan.

* Penulis merupakan aktivis Group Palestine English (Malaysia).