Malaysia Dateline

Solusi menang-menang akan atasi masalah pemilikan rumah di Johor

Kerajaan negeri Johor disarankan segera melaksanakan usaha kerjasama bagi mencari solusi menang-menang antara pemain pasaran hartanah dan pembeli bagi mengatasi kenaikan harga rumah dipasaran.

Timbalan Presiden AMANAH Salehuddin Ayub berkata, memandang serius gesaan yang dilontarkan Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahukan seluruh rakyat Johor tanpa mengira bangsa, agama dan kelas pendapatan untuk memiliki rumah yang benar-benar mampu milik demi kesejahteraan rakyat Johor.

“Pastinya peringatan ini adalah tamparan besar kepada Kerajaan Negeri Johor yang tiada dasar perumahan yang jelas untuk memandu agenda perumahan mampu milik negeri dalam jangka masa pendek dan panjang.

“Tambahan pula, Bank Negara memberi amaran keras kepada negeri Johor atas lambakan perumahan tertinggi yang tidak terjual di Malaysia.

“Analisis yang dijalankan mendapati ia berpunca daripada ketidakpadanan harga rumah yang ditawarkan di pasaran dengan pendapatan rakyat Johor.

“Saya yakin masalah ini boleh diselesaikan dengan lebih holistik sekiranya usaha kerjasama dapat dilangsungkan dengan semua pemain-pemain pasaran hartanah seperti pihak pemaju, persatuan bank-bank, persatuan pembeli, kerajaan tempatan dan lain-lain pihak berkepentingan,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Salahuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan Johor ini juga berkata, penyelesaiaan yang dicadangkan ini bukan perkara baharu kerana banyak negara maaju ujarnya telah melaksanakan pendekatan sedemikian.

” ‘Multiple ways communication’ adalah kunci untuk memastikan sesebuah polisi itu adil kepada semua pihak atau solusi win-win agar agenda perumahan mampu milik di negeri Johor dapat digalakkan dengan lebih giat.

” Saya ingin tekankan bahawa Pakatan Harapan Negeri Johor meletakkan agenda perumahan di negeri Johor sebagai kriteria asas dalam membangunkan negeri Johor.

“Malah beberapa pelan strategik telah dirancang sebagai persiapan untuk mentadbir negeri Johor dengan lebih baik berbanding kerajaan yang ada hari ini,” ujarnya.