Soon Huat-Shevon akui berdepan saingan sengit bertemu Peng Soon-Liu Ying

Soon Huat-Shevon akui berdepan saingan sengit bertemu Peng Soon-Liu Ying

Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai mengakui akan berhadapan saingan sengit sekiranya bertemu rakan senegara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada kejohanan badminton Perodua Masters Malaysia 2019.

Berdasarkan undian kejohanan, mereka dijangka bertemu dengan beregu profesional Peng Soon-Liu Ying, sekiranya kedua-dua pasangan itu berjaya mara ke pusingan suku akhir nanti.

Soon Huat-Shevon memulakan kempen Masters Malaysia dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua menewaskan Chang Tak Ching-Ng Wing Yung dari Hong Kong dengan straight set 23-21, 21-14 pada perlawanan pertama hari ini.

Menanti mereka selepas ini Takuro Hoki-Wakana Nagahara dari Jepun yang mengalahkan Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia 21-9, 19-21, 21-17.

“Jika berjaya ke suku akhir dan bertemu mereka, kami perlukan melakukan persiapan lebih rapi kerana ia merupakan peluang yang bagus. Mereka adalah pasangan berpengalaman dan beregu terbaik dunia.

“Sebelum ini kami sering berlatih bersama, jadi saya tidak berasa kekok jika perlu menentang mereka…mungkin jurulatih lebih berasa janggal dengan keadaan itu.

“Pada saya sekiranya kedua-dua pasangan ke suku akhir, Malaysia sudah pasti mempunyai wakil ke separuh akhir, itu lebih penting. Tidak kira kami atau mereka, tugas kami adalah mewakili negara,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan pusingan pertama.

Mengulas mengenai prestasi mereka hari ini Soon Huat menjelaskan permainan mereka sedikit terjejas pada set pertama kerana pemain lawan dapat membaca corak permainan dengan baik.

Gandingan itu kini merupakan beregu utama di bawah Persatuan Badminton Malaysia mengakui perlukan masa untuk mengawal tekanan dengan baik setelah Peng Soon-Liu Ying membuat keputusan keluar daripada badan induk sukan itu Disember lalu.

“Tipulah kalau saya kata tiada tekanan. Tekanan itu tetap ada. Kami masih belajar mengawal tekanan ketika di gelanggang. Kami baru tiga tahun digandingkan jika dibandingkan dengan mereka (Peng Soon-Liu Ying).

“Mereka jauh lebih berpengalaman dalam mengawal tekanan selaku beregu utama negara. Saya mengambil cabaran ini dalam sudut positif untuk menjadi lebih matang,” jelas Soon Huat.

Peng Soon-Liu Ying yang baharu menjuarai Masters Thailand minggu lepas akan memulakan perlawanan mereka menentang Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis esok.

Sementara itu satu lagi beregu campuran negara Tan Kian Meng-Lai Pei Jing terkandas pada pusingan pertama kepada beregu pilihan keempat kejohanan, Chris Adcock-Gabrielle Adcock dari England.

Mereka memulakan perlawanan pada set pertama dengan kemenangan 22-20 namun terpaksa akur dengan kekalahan dua set seterusnya 11-21 dan 15-21.

— BERNAMA