Malaysia Dateline

SOP caca marba akibatnya rakyat yang sengsara

Kegagalan kerajaan PN, ketidakcekapan pentadbiran dan SOP yang caca marba akhirnya menjadikan rakyat sengsara sepertimana yang sedang berlaku tatkala ini.

Sejajar dengan itu, membiarkan kerajaan sedia ada meneruskan kelemahan kepimpinan mereka akan menyebabkan keadaan pandemik Covid-19 tidak mampu diatasi dan rakyat terus berada dalam situasi gundah-gulana tanpa noktah.

Jelas Pengerusi AMANAH Pulau Pinang, Dr Roslan Ahmad, tanggungjawab pemerintah adalah untuk memelihara nyawa rakyat, namun begitu dalam konteks Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini, SOP yang kerap berubah-ubah menyusahkan rakyat sehingga menimbulkan kecelaruan yang berterusan.

“PKP yang diisytiharkan semula oleh kerajaan harus memberi jaminan bahawa tiada amalan dua darjat yang dipraktikkan khususnya dalam pelaksanaan prosedur operasi standard atau SOP sempena Aidilfitri terutamanya larangan bagi merentas negeri.

” Penguatkuasaan SOP tidak harus berbeza-beza mengikut darjat dan pangkat tidak terkecuali kepada golongan berstatus tinggi termasuk menteri, ahli politik, usahawan, artis maupun personaliti media sosial.

” Jika rakyat bawahan tidak dibenarkan untuk rentas daerah dan negeri, apa bezanya dengan ahli politik maupun pimpinan kerajaan seperti menteri dan seumpamanya, patuh SOP yang pihak pemerintah sendiri rencanakan termasuklah Aidilfitri minggu ini dan tidak harus ada lagi SOP yang ‘double standard’ ataupun SOP caca marba yang mencelarukan, ” tegas beliau.

Tambah Dr Roslan, tanggungjawab kerajaan adalah untuk memelihara nyawa rakyat dan dalam konteks kawalan penularan pandemik Covid-19, perlaksanaannya haruslah menyeluruh tanpa adanya perbezaan dan perbandingan.