Malaysia Dateline

SOP dah ketat buat apa lagi isytihar darurat, kata Zahid

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak bersetuju dengan pengisytiharan darurat yang dilakukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, secara peribadi keputusan tersebut adalah tidak perlu apatah lagi kerajaan mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk menangani wabak Covid-19.

“Kita telah ada SOP cukup ketat dan pada saya secara peribadi tidak perlu pun darurat diisytiharkan.

“Dalam perkara ini saya amat taat setia kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang telah dinasihati oleh Perdana Menteri. Perdana Menteri mendapat mandat dari jemaah menteri supaya darurat diisytiharkan.

“Tetapi hakikatnya, rakyat harus diambil kepedulian,” katanya dalam satu wawancara yang disiarkan di Malaysiapost pada Ahad.

Pada masa sama, Ahmad Zahid berkata, dakwaan sesetengah pihak bahawa Muhyiddin hanya mahu mempertahankan kedudukannya dengan pengisytiharan darurat adalah interpretasi rakyat yang tidak boleh ditahan oleh kerajaan.

Kerana itu katanya, kerajaan perlu lebih mengutamakan masalah rakyat yang mungkin dianggap kecil oleh mereka yang berpangkat tinggi.

“Mungkin soal rakyat terlalu kecil untuk mereka yang berpangkat besar, berkedudukan tinggi, berada di dalam bilik berhawa dingin dan berkerusi empuk.

“Tapi bagi kita masalah rakyat yang harus diutamakan. Tanpa rakyat, kita tidak akan berada di mana-mana posisi dalam kerajaan apatah lagi sebagai anggota jemaah menteri,” katanya.

Zahid menggambarkan demokrasi di Malaysia sudah dikafankan apabila ahli-ahli Parlimen tidak lagi boleh bersidang bagi menyampaikan keluhan dan isu yang dibangkitkan rakyat.

Ketika pandemik COVID-19 inilah katanya, rakyat dihimpit kemelut ekonomi memerlukan pendapatan bagi menyediakan makanan untuk keluarga serta meneruskan kelangsungnan hidup mereka.

“Rakyat mahu makanan di atas meja, duit dalam poket. Suara saya adalah nadi daripada rakyat, dan ramai lagi kawan-kawan lain yang menyebutkan perkara ini kerana kalau bukan kita (wakil rakyat) yang menyuarakan suara rakyat, siapa lagi?

“Saya adalah sebahagian daripada kerajaan, tetapi oleh kerana Parlimen tidak bersidang, maka jangan disekat suara rakyat yang saya menjadi lidahnya.