Malaysia Dateline

SOP ‘ke laut’, penyokong Najib dibimbangi cetus kluster mahkamah

Kumpulan penyokong bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dilihat mengingkari prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan jangkitan pandemik Covid-19.

Kira-kira 2,000 penyokong Najib bersesak dan bersorak di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini sempena keputusan kes pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Mereka dengan sebahagiannya tidak memakai pelitup muka atau tidak mengenakannya dengan sempurna berteriak berulang kali jeritan Bossku sejurus Najib tiba.

Penyokong bekas Pengerusi BN dan Presiden Umno itu juga menyanyikan lagu Allah Selamatkan Datuk Najib sambil berhimpit-himpit seolah-olah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sudah berakhir.

Kumpulan penyokong Najib paling ketara terdiri daripada mereka berpakaian biru dengan tertera di belakang baju, “Rakyat Baling Berpisah Tiada” selain berpakaian serba merah bagi kaum Hawa dipercayai Wanita Umno.

Sokongan mereka juga diikuti bacaan selawat dan teriakan “Allahuakbar” tetapi kembali ditenggelami dengan pekikan Bossku.

Terdapat juga segelintir peserta himpunan dipercayai penyokong Pas berdasarkan baju berwarna hijau parti itu selain berkopiah putih.

“Tiada SOP. Bossku kebal Covid-19 ke?” soal Norazman Yatim dalam reaksinya menerusi siaran langsung Malaysiadateline sebentar tadi.

Terdapat juga gesaan supaya mereka terbabit dikenakan tindakan undang-undang seperti dikuatkuasakan terhadap pengunjung restoran yang mengingkari SOP sebelum ini.

“Sepatutnya kena saman RM1,000 seorang. Makan di restoran (langgar SOP) kena saman,” kata pengguna Facebook, Tazudin Jiren.

Dalam sidang media di Bangunan Parlimen pada 23 Julai lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menegaskan peniaga dan pengunjung yang didapati gagal mematuhi SOP penjarakan sosial di restoran akan dikenakan denda dan kompaun.

Tindakan tersebut mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau dikenali juga Akta 342.

Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata, polis dan pasukan petugas khas akan memantau dan membuat pemeriksaan lebih kerap di restoran serta warung bagi memastikan penjarakan sosial dipatuhi.

Semalam, Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan terdapat tujuh kes baharu Covid-19 dengan jumlah keseluruhan mencecah 8,904 kes.

Terdapat 179 kes aktif dengan kebolehjangkitan telah dikesan dan telah diasingkan untuk menerima rawatan.

Setakat semalam, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 124 kes iaitu 1.39 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Perarakan besar-besaran ribuan penyokong Najib dibimbangi mengundang penularan Covid-19.
Peserta himpunan menyokong Najib di mahkamah hari ini tidak menjaga jarak sosial di meja makan walaupun telah diingatkan untuk berbuat demikian.