Malaysia Dateline

SOP, kepimpinan yang lemah dan amalan “double standard”

LIM HONG SIANG

Saya masih ingat bagaimana seorang rakan dalam Facebook merungut betapa tidak masuk akalnya SOP yang ditetapkan dalam fasa pertama dan kedua ketika Perintah Kawalan Pergerakan 1.0 yang dilaksanakan mulai 18 Mac 2020. Dia dihalang untuk menghantar isterinya ke pejabat, lantaran SOP yang mengehadkan hanya seorang dibenarkan dalam sebuah kenderaan.

Bayangkan, isterinya yang tidak tahu memandu terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi atau Grab untuk ke pejabat. Dari segi perbelanjaan, keluarga ini terpaksa menanggung kos tambang pengangkutan yang lebih tinggi; dari segi kawalan penularan wabak, ia menambah risiko kepada keluarga ini kerana si isteri didedahkan kepada seorang pemandu yang pernah berkongsi ruang dalam kereta bersama penumpang yang berlainan. Berbanding jikalau si isteri dihantar suaminya, bukankah ia lebih jimat dan selamat?

Namun, kebanyakan rakyat hanya menerima SOP ini dengan penuh kesabaran. Maklumlah, ini kali pertama kita berdepan dengan wabak Covid-19, maka kesilapan harus dibenarkan. Kita cuba bertimbang rasa kerana memahami situasi begitu terdesak, dan penggubal dasar terpaksa membuat keputusan secara tergesa-gesa. Sudah tentu ada butiran yang tidak sempat diperincikan.

Lebih-lebih lagi, kita tidak mahu pertikaian kita dilihat sebagai beban, menambah tekanan kepada mereka yang sedang bertungkus lumus memerangi wabak Covid-19 ketika itu.

Apapun, kita sudah memiliki pengalaman lebih setahun untuk memerangi Covid-19 sehingga hari ini. Seandainya kita memanfaatkan kesilapan lalu dengan memperbaiki kelemahan yang sedia ada, sudah pasti kesabaran yang dicurahkan masyarakat umum sebelum ini berbaloi.

Namun demikian, situasi sebaliknya berlaku. Terbaru, seorang rakan memberi gambaran bagaimana tidak masuk akalnya SOP yang mengehadkan dine-in kepada dua orang. Dia mengisahkan bagaimana seorang bapa duduk bersendirian, sementara ibu dan seorang anak pula makan bersama di meja yang lain. Bukankah ia kelakar, apabila keluarga yang duduk di bawah satu bumbung, terpaksa makan berasingan di restoran?

Itu pun belum kita mengambil contoh SOP sambutan Tahun Baru Cina 2021, yang dibaca sebagai Semua Orang Pening. Salah satu kekaburan yang nyata adalah sama ada aktiviti ziarah-menziarahi dibenarkan, setelah larangan itu ditarik balik dalam versi yang dikemaskini kemudiannya.

Memang dinyatakan dalam SOP bahawa “rumah terbuka” tidak dibenarkan. Sekali lagi, apa yang dimaksudkan dengan rumah terbuka? Apakah aktiviti ziarah-menziarahi yang dihidangkan dengan juadah, tergolong sebagai “rumah terbuka”? Atau, apakah ada had bilangan pelawat, yang membezakan antara aktiviti “ziarah-menziarahi” dengan “rumah terbuka”?

Sesungguhnya Tahun Baru Cina telah berlalu, jikalau hanya diambil kira makan malam reunion, hari pertama dan kedua. Tetapi perkara ini tetap ingin saya bangkitkan kerana kekeliruan sebegini boleh berulang pada Hari Raya Aidilfitri dan perayaan yang akan datang.

Sejujurnya, ramai termasuk saya akur dengan SOP yang ketat lantaran kes jangkitan Covid-19 masih melambung. Hakikatnya, sebelum SOP Tahun Baru Cina diumumkan lagi, ramai yang memujuk, agar mereka yang bekerja di bandar (terutamanya Kuala Lumpur dan Selangor), tidak balik ke kampung untuk menyambut Tahun Baru Cina kali ini. Bukan sahaja untuk melindungi orang tua yang ada di kampung, tetapi juga bimbang seandainya barisan depan pengamal perubatan rebah lantaran peningkatan kes jangkitan yang mendadak.

Berbalik kepada zon kekaburan tadi, ramai dalam kalangan kami yang membatalkan hasrat untuk saling menziarahi, terbeliak apabila menteri kanan, Azmin Ali memuat naik gambar dirinya menziarahi sahabat beliau ketika Tahun Baru Cina (gambar). Apakah ia bermakna aktiviti ziarah-menziarahi untuk mereka yang bukan duduk serumah dibenarkan? Atau ia dibenarkan hanya untuk mereka yang bertaraf menteri?

Saya bukan menuntut agar Azmin Ali diambil tindakan, tetapi jelas zon kekaburan dalam SOP ini telah membuka ruang kepada amalan “double standard”. Harus kita ingat, bahawa SOP yang dirujuk bersifat perintah daripada pihak berkuasa. Dengan kata lain, sesiapa yang melanggar SOP, akan dikenakan kompaun. Polis tidak datang sekadar untuk “menasihat”, tetapi terus menghulurkan notis kompaun. Dan RM1,000 bukan angka yang kecil untuk kebanyakan kami.

Jikalau inilah situasinya, SOP harus jelas untuk semua, sama ada untuk rakyat, mahupun penguatkuasa. Ia tidak sepatutnya diubah-ubah dan dikemaskini berkali-kali, sehingga rakyat dan penguatkuasa terkeliru, versi SOP manakah yang “terkini” untuk digunapakai.

Apabila SOP bersifat kabur, atau wujud “double standard” sepanjang pelaksanaannya, ia boleh mencalar kewibawaan polis. Polis akan diperlekehkan sama ada tidak berani mengenakan kompaun kepada menteri, ataupun disyak wasangka sebagai mengambil kesempatan untuk mencari “duit kopi”. Kedua-duanya memberi imej negatif kepada pasukan keselamatan kita.

Bab inilah yang paling dikesali sepanjang kita memerangi Covid-19. Satu ketika dahulu krisis ini menjadi satu peluang di mana masyarakat Malaysia saling menghargai sumbangan dan pengorbanan masing-masing. Kita hampir membuka lembaran sejarah baru apabila rakyat tanpa mengira warna kulit, agama, budaya, dan latar belakang, berganding bahu untuk mengharungi detik saat yang menguji kita.

Tetapi akhirnya kita gagal, kerana kerajaan yang tidak cekap, dan tidak tegas dalam kepimpinannya. Disebabkan kepimpinan yang lemah, usaha kita melawan Covid-19 tergendala. Ia berakhir dengan tuding-menuding jari, dan prejudis terhadap satu sama lain kembali menebal.

Rakyat hilang yakin kepada Menteri Kesihatan, Menteri Pendidikan pula hilang entah ke mana. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang muncul kembali dengan penampilan berbeza, pula sibuk melaram dengan gaya dan pakaiannya.

Siapa menjawab soalan media? Siapa merungkaikan kesangsian rakyat? Siapa meleraikan keresahan rakyat? Siapa menyelesaikan masalah rakyat? Siapa bertanggungjawab apabila menteri yang dilantiknya tidak cekap untuk mengendalikan kementeriannya? Tiada.

Justeru, wajar kita ajukan soalan, mengapa rampas kuasa seandainya gagal mentadbir? Apakah tiada sehiris rasa malu dalam diri orang yang berbuat demikian? Apakah tidak pernah mereka terfikir bagaimana sejarah akan memperingati mereka satu hari nanti?

———————-
Penulis merupakan Pengarah Eksekutif SAUDARA (Penyelidikan Sosio-Budaya), bekas editor dan penganalisis isu-isu semasa.