Malaysia Dateline

SOP lebih ketat akan diumumkan esok

SOP Perintak Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang lebih ketat akan diumumkan esok oleh  Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, demikian maklum Pejabat Perdana Menteri.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri,  sidang khas yang bermesyuarat hari ini telah sebulat suara bersetuju mengetatkan lagi pelasksanaan PKP 3.0 yang sedang berkuatkuasa dengan penambahan sekatan lebih ketat ke atas sektor ekonomi dan sosial.

“Perincian mengenai sekatan tambahan ini akan diumumkan dalam sidang media Menteri Kanan Pertahanan pada 22 Mei 2021,”katanya.

Dalam pada itu, sidang khas hari ini turut melibatkan kerajaan negeri bagi mengambil kira situasi semasa di negeri masing-masing serta pandangan mereka terhadap usaha untuk mengekang penularan COVID-19.

Bagaimanaplun menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu, SOP PKP 3.0 telah diperketatkan termasuk larangan rentas negeri dan daerah serta sekatan bagi aktiviti sosial, sukan dan rekreasi serta persidangan dan mesyuarat secara bersemuka.

Berikutan penularan dalam komuniti yang semakin meningkat dan kewujudan varian baru yang lebih agresif dengan kadar kebolehjangkitan tinggi menyebabkan usaha untuk melandaikan lengkung jangkitan mengambil masa yang lebih panjang.

Semalam negara mencatat kes baru positif COVID-19 dengan angka 6,806 kes dan 56 orang telah direkodkan meninggal dunia.