Malaysia Dateline

SOP PKP 3.0 mengelirukan dan lebih mirip PKPB

Kandungan prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dianggap tidak menyamai peraturan PKP 1.0 yang dilaksanakan kerajaan tahun lalu.

Sebaliknya, Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, ia nampak lebih mirip dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, penguatkuasaan kerajaan kali ini mengelirukan kerana SOP PKP antara dua fasa itu banyak perbezaannya.

“Bagi saya ini sangat keliru. Sebenarnya kandungan SOP dia berbeza dengan PKP 1.0 dan lebih mirip PKP bersyarat.

“Kenapa mereka sebut PKP kalau begitu? Tidak ada alasan lain mungkin secara psikologi mereka ingin takutkan rakyat bahawa peraturan ini ketat.

“Tapi sebenarnya fungsi tidak banyak beza dengan PKPB. Jadi dari segi istilah dan SOP banyak keliru,” katanya dalam satu siaran langsung di Facebook Parti Muda malam tadi.

Tian berkata, sebahagian dari masalah yang wujud sekarang apabila SOP dan istilah tidak telus dan tegas, maka ia menyebabkan kerajaan gagal mengatasi masalah pandemik Covid-19.

Menurutnya, jika kerajaan hanya membaca statistik untuk menentukan sesuatu kawasan itu ditutup atau dibuka, ia bukan lagi dipanggil strategi kerana tidak melibatkan sebarang rancangan yang komprehensif.

“Saya bagi contoh, kalau kerajaan buat keputusan untuk tutup ‘highway plus’ ekoran kemalangan membabitkan penunggang motosikal, sudah pasti angka itu akan menurun selepas penutupan.

“Tapi semasa penutupan highway itu, kerajaan tak baiki jalan, tak buat jalan pintas, dan tak naik taraf laluan motor. Buka balik sudah tentu angka dia akan naik semula.

“Jadi isunya bukan tutup atau buka. Isunya ialah bila kita tutup, apa yang harus dilakukan untuk minimumkan kes agar kita dapat teruskan kehidupan ekonomi dan sosial kita tanpa sekali lagi diancam oleh penutupan PKP,” jelasnya.