Malaysia Dateline

SOP sambut Hari Raya Aidilfitri dan Gawai diperkenalkan di Sarawak

Sarawak akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi dipatuhi semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, SOP itu bakal diperkenalkan dengan mengambil kira situasi jangkitan Covid-19 di negeri ini.

Katanya, cabaran paling besar dihadapi Sarawak ketika ini ialah mengekalkan zon hijau yang masih dalam 70 peratus manakala selebihnya zon merah dan zon kuning.

“SOP ini tidak hanya dikuatkuasakan di rumah panjang atau kampung di kawasan luar bandar tetapi di setiap bandar di negeri ini,” ujarnya.

Menurut Uggah, Sarawak juga masih memutuskan Bazar Ramadan dan Bazar Gawai tidak dibenarkan.

“Sebarang keputusan ini dibuat akan mengambil kira kemajuan atau perkembangan situasi dan keadaan semasa.

“Hal paling penting ialah mengamalkan penjarakan sosial selain akan memperkenalkan SOP dan mengumumkannya apabila tiba masanya kelak,” tambahnya lagi.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan bahawa Sarawak mengambil keputusan mengurangkan jumlah penerbangan antara Bintulu dan Kuala Lumpur berdasarkan kapasiti bilik hotel di bahagian itu (Bintulu) untuk dijadikan pusat kuarantin bagi orang dalam pemantauan (PUS).

“Dengan ini, kita memutuskan hanya satu penerbangan Bintulu-Kuala Lumpur seminggu kerana hotel di Bintulu tidak mencukupi untuk dijadikan tempat kuarantin.

“Kita tidak hanya mengehadkan jumlah penerbangan ke Bintulu tetapi juga di Sibu, Miri malah Kuching,” jelas beliau.

Bagaimanapun, beliau memberitahu jumlah penerbangan ke Bintulu bakal ditambah bagi memenuhi keperluan pelajar yang pulang dari Semenanjung Malaysia.

“Pengurangan jumlah penerbangan di negeri ini tidak tetap kerana ia sentiasa dikaji semula oleh dari masa ke masa,” katanya.