Malaysia Dateline

SOP sedia ada gagal bendung jangkitan Covid-19

Pemuda AMANAH Nasional menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya lebih cekap dalam menghadapi gelombang keempat Covid-19.

Naib Ketuanya, Khairul Ali berkata, hasil daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih belum ada walaupun sudah hampir empat bulan rakyat berada dalam tempoh PKP 2.0.

“Kita tidak mahukan perkara yang sama berulang-ulang sehingga menyusahkan rakyat.

“Prosedur operasi standard (SOP) yang baru perlu dikaji dan dilaksanakan secepat mungkin supaya rakyat dapat bersedia menghadapi gelombang keempat ini.

“Sudah jelas bahawa SOP yang sedia ada tidak mampu membendung dan memulihkan keadaan yang sedia ada,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan memaklumkan sidang mesyuarat MKN bersetuju untuk melanjutkan tempoh PKPB bagi lima negeri sehingga 28 April ini.

Mengulas lanjut, Khairul menyifatkan pelanjutan PKPB itu sebagai tidak munasabah memandangkan pelaksanaan PKPB tersebut adalah lanjutan daripada PKP 2.0 yang bermula sejak 13 Januari lalu.

“Kadar jangkitan kes harian masih kekal di paras 1,000 kes ke atas. Ini jelas bahawa pelaksanaan PKP/PKPB tidak mencapai tujuan asalnya iaitu untuk melandaikan lengkung kadar kes Covid-19 ini.

“Namun, pihak kerajaan masih melakukan perkara yang sama berulang-ulang kali setiap dua minggu.

“Tidak ada satu post-moterm yang dilakukan oleh pihak MKN mahupun KKM dalam mengkaji SOP terbaik untuk mencegah penularan wabak Covid-19 ini,” tegasnya.

Untuk rekod, kes harian Covid-19 terus melonjak setiap hari sejak 10 April lalu dengan terkini 1,889 kes setakat jam 12 tengah hari tadi.

Sehubungan itu, Khairul berpendapat kerajaan PN tidak mengambil tindakan yang jelas dan strategik dalam menghadapi ancaman gelombang keempat.

“Rakyat sudah terkesan dengan pelbagai masalah sejak daripada PKP 1.0. Seharusnya pihak kerajaan yang menggelar diri mereka sebagai Kerajaan Prihatin Rakyat ini perlu proaktif dalam menjaga kebajikan rakyat.

“Namun, kerajaan seakan-akan memekakkan telinga dan mengambil tindakan dengan sewenang-wenangnya tanpa ada check and balance daripada mana-mana pihak dek kerana penangguhan sidang Parlimen,” tambahnya lagi.