Malaysia Dateline

SOP tak jelas punca rakyat perlu hadap satu lagi PKP

Pengamal perubatan yang juga pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Mathen Nair yakin prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang tidak jelas menyebabkan negara kini terpaksa berhadapan dengan satu lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, kerajaan pada awal lagi sudah sepatutnya menitikberatkan saranan pakar-pakar kesihatan supaya melaksanakan ‘mass testing (ujian yang luas), contact tracing (mengesan kontak) dan isolation (pengasingan).

Namun katanya, kerajaan gagal mengambil berat nasihat berkenaan dengan tiadanya pelaksanaan pada kadar yang pantas untuk membendung penularan wabak tersebut.

“Sepatutnya PKP awal dahulu digunakan untuk buat ujian meluas kepada rakyat. Kemudian kita kesan kontak rapat mereka dan seterusnya buat pengasingan. Tetapi kerajaan tidak buat begitu.

“Sekarang mereka guna PKP bukan lagi untuk memutuskan penularan, tetapi untuk melandaikan lekuk Covid-19. Ini tak waras, ini kerja gila kerana anda buat PKP tapi tak buat ujian (testing) dan pengesanan kontak rapat.

“SOP tak jelas sebab itu kita buat PKP lagi dan lagi. Anda perlukan SOP yang jelas supaya tiada lagi orang yang akan dijangkiti virus ini,” katanya yang merupakan pengarah strategi kumpulan perubatan swasta di Kuala Lumpur,

Beliau berkata demikian dalam sidang media anjuran Jawatankuasa Penamatan Proklamasi Darurat yang membincangkan tentang ‘Pandemik dan Vaksinasi, Perlukah Darurat?’, di Hotel Tamu hari ini.

Turut hadir sebagai Panelis, Pengerusi Taskforce Covid-19 Selangor, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad; Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud; dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii Lee Wuen.

Sementara itu Mathen berkata, alasan utama negara gagal membendung wabak Covid-19 juga disebabkan kepimpinan kerajaan hari ini yang tidak tahu apa yang sedang mereka lakukan.

Menurutnya, rakyat memerlukan kepimpinan stabil supaya keputusan lebih baik dapat dibuat.

“Ini yang kita hilang sekarang, kita hilang kepimpinan seimbang. Mereka tak boleh hanya fokus kepada kesihatan sahaja tanpa mengambil kira kelangsungan hidup rakyat.

“Apa yang kita perlukan sekarang adalah pelaksanan berterusan dan selari melibatkan mass testing, contact tracing, pengasingan, vaksinasi dan kesinambungan ekonomi,” katanya lagi.