Isu sorok minyak masak peket ini bukanlah sesuatu yang baru namun kini tindakan tegas di ambil terutamanya apabila semakin dekat dengan musim perayaan.
Tambahan bulan Ramadan bakal menjelang maka orang ramai pastinya mencari minyak masak peket bagi persiapan untuk masak waktu sahur dan berbuka.
Sebuah pasar raya di Sungai Lalang, Kedah berdepan tindakan tegas selepas menyembunyikan minyak masak peket.
Menurut Kosmo, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu pasar raya tersebut selepas mendapat aduan orang awam.
Pengarah KPDN Kedah, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan pukul 11.30 pagi itu dilakukan susulan laporan yang menyatakan bahawa premis berkenaan memberi alasan sudah kehabisan stok.
“Kita menggerakkan operasi pemantauan dengan menghantar anggota KPDN berpakaian preman untuk melakukan uji beli di premis tersebut dan mendapati tiada minyak masak peket dipamer di rak jualan.
“Semasa penyamaran itu, anggota kita dimaklumkan oleh seorang pekerja premis berkenaan bahawa bekalan minyak masak peket telah habis,” katanya seperti dipetik Kosmo.
Tambahnya, pasukan serbuan kemudian memasuki premis berkenaan dan berjaya menjumpai 30 minyak masak peket disembunyikan di dalam stor
“Pihak kita kemudian menyita kesemua minyak masak peket bernilai RM75 itu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.
Kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16A(1)(b).