Malaysia Dateline

Sorokkan Jho Low, buat perniagaan rugikan negara

Kerajaan BN sebelum ini didakwa bukan sahaja menyorokkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bahkan melaksanakan perniagaan yang tidak menguntungkan negara.

Tokoh wartawan, Datuk Abdul Kadir Jasin berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti dilapor The Star pada 23 November 2015 telah menjual semua aset penjanaan elektrik miliknya kepada China General Nuclear Power Corporation (CGN).

Menurut akhbar itu, katanya, harta yang dipegang di bawah Edra Global Energy itu dijual dengan harga RM9.83 bilion.

“Dengan penjualan itu, China serta-merta menjadi antara pemilik penjana elektrik bebas (IPP) terbesar di Malaysia.

“The Star juga melaporkan bahawa 1MDB membayar RM12 bilion untuk ekuiti penjanaan Edra Global dan mengambil alih hutang Edra Global sebanyak RM6 billion.

“Penjualan Edra Global kepada syarikat milik kerajaan China itu adalah sebahagian daripada urusan membayar balik RM42 bilion hutang 1MDB.

“Kesimpulannya, kerajaan BN bukan saja cuba sembunyi Jho Low daripada Umno, tapi ia juga membuat urusan perniagaan yang merugikan negara,” jelasnya dipetik dari hantaran beliau di Facebook hari ini.

Edra, anak syarikat CGN, adalah pengeluar tenaga bebas antarabangsa terkemuka di Asia Tenggara dengan 13 loji kuasa dan penyahgaraman di Malaysia, Mesir, Bangladesh, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pakistan.

Kelmarin, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur adalah menjadi kelaziman nama Jho Low tidak dinyatakan dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB bagi melindungi Datuk Seri Najib Razak.