Sorotan 2015: Pencarian MH370 diteruskan, kerajaan mohon tribunal antarabangsa MH17

Sorotan 2015: Pencarian MH370 diteruskan, kerajaan mohon tribunal antarabangsa MH17

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tahun 2015 berakhir dengan seribu satu persoalan berhubung tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 dan MH17, yang berlaku pada tahun 2014.

Pembuka tahun 2015, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman secara rasmi mengisytiharkan MH370 yang hilang pada 8 Mac 2014 sebagai kemalangan, menurut Standards of Annexes 12 dan 13 Konvensyen Chicago.

Pengumuman pada 29 Januari itu sekaligus menganggap 239 penumpang dan anak kapal MH370 terkorban.

Namun pengumuman itu masih belum menjawab pelbagai persoalan berhubung punca kehilangan MH370 setelah sejam berlepas dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 12.41 pagi, 8 Mac 2014.

Lebih-lebih lagi pengumuman itu dibuat dalam keadaan bangkai pesawat masih belum ditemui.

Fasa pertama pencarian pesawat MH370 berakhir pada bulan Jun dengan kawasan pencarian meliputi lebih 52,000 kilometer persegi.

Fasa kedua pencarian pula membabitkan hanya dua kapal di kawasan terpencil di Lautan Hindi.

Pada 29 Julai, seorang tukang bersih pantai di Pulau Reunion di Lautan Hindi menemukan serpihan sayap pesawat sepanjang 2.7 meter dipanggil ‘flaperon’ yang dipercayai pakar adalah milik Boeing 777. MH370, satu-satunya pesawat Boeing yang dilaporkan hilang di Lautan Hindi.

Ia seakan-akan penamat kepada berita kehilangan MH370 apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada Ogos mengesahkan flaperon ditemui itu adalah daripada MH370 yang hilang.

Pada september pula, pasukan penyiasat Perancis mengesahkan ‘dengan pasti’ bahawa flaperon pesawat ditemukan pada 29 Julai adalah milik Penerbangan MH370, berdasarkan nombor siri yang sepadan dengan rekod syarikat Sepanyol yang mengeluarkan bahagian flaperon.

Namun demikian pada 5 September, Malaysia mengumumkan akan meneruskan misi mencari di kawasan penerbangan MH370 dikatakan hilang di Lautan Hindi di sebalik pengesahan Perancis bahawa flaperon ditemukan di Pulau Reunion dalam wilayah Perancis, adalah milik pesawat itu.

Seterusnya pada 29 September, Malaysia, China dan Australia mengesahkan pada mesyuarat tiga pihak di Beijing, mereka kekal komited untuk mengesan lokasi pesawat MH370.

Penutup 2015 iaitu pada 9 Disember, kapal ketiga, Havila Harmony, menyertai misi mencari pesawat MH370 di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi, menurut Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC). Menurutnya lebih 75,000 kilometer persegi kawasan dasar laut telah diliputi dalam misi mencari itu setakat ini.

Dalam pada itu, pada 28 Disember, Kerajaan Malaysia dan tiga pihak lagi memfailkan permohonan bagi membatalkan saman difailkan lima sekeluarga yang menuntut ganti rugi berhubung kematian tiga anggota keluarga mereka yang juga penumpang pesawat MH370.

Keempat-empat defendan ialah kerajaan, Malaysia Airlines Berhad (MAB), Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada 28 Ogos lalu, lima sekeluarga itu memfailkan saman terhadap kelima-lima defendan bagi menuntut ganti rugi atas kehilangan Tan Ah Meng, 46, dan isterinya Chuang Hsiu Ling@Cindy Chuang, 45, masing-masing merupakan pengarah syarikat kejuruteraan dan pembinaan serta anak sulung pasangan itu, Tan Wei Chew, 19.

MH17 sah ditembak jatuh peluru berpandu

Belum pun reda ribut MH370, Malaysia sekali lagi digemparkan dengan berita pesawat MH17 terhempas di Ukraine pada 17 Julai 2014.

Semua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat Boeing 777 itu, yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Amsterdam, terkorban.

Siasatan berkenaan tragedi ini berlarutan sehingga tahun ini dan pada 13 Oktober , Lembaga Keselamatan Belanda mengesahkan MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu darat ke udara BUK di ruang udara timur Ukraine.

Pada Februari, draf resolusi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Ukraine mengulangi penegasan mendesak kebertanggungjawaban pihak-pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat MH17.

Malaysia mengadakan satu upacara memperingati tragedi ini pada 11 Julai di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada bulan sama, negara-negara yang terbabit dalam penyiasatan bebas terhadap insiden penembakan MH17 iaitu Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine meminta Majlis Keselamatan PBB menubuhkan tribunal jenayah antarabangsa untuk membicarakan pihak-pihak yang bertanggungjawab terhadap jenayah berkaitan penembakan pesawat itu.

Akhirnya pada November, Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu Dewan Rakyat bahawa rundingan bagi penubuhan tribunal mengenai tragedi MH17 masih diperhalusi di peringkat Pasukan Siasatan Bersama MH17.

Akibat kedua-dua tragedi ini, MAS terjejas teruk dan sepanjang tahun 2015 pihaknya terpaksa berusaha keras bagi memulihkan keyakinan pengguna.

TAGS