Sorotan 2015 :PRN Sarawak dinanti penuh debar

Sorotan 2015 :PRN Sarawak dinanti penuh debar

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Tahun 2015 bakal melabuhkan tirainya, dengan penduduk di Sarawak terus ternanti-nantikan detik untuk kembali ke peti undi bagi menunaikan tanggungjawab dalam memilih wakil rakyat untuk menerajui negeri ini.

Dari aspek politik sepanjang tahun 2015, segala-galanya di Bumi Kenyalang ini berkisar kepada susun atur gerak langkah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, dalam membawa corak kepimpinan baharu dengan gaya sendiri, selepas mengambil alih daripada Tun Abdul Taib Mahmud yang menerajui Sarawak lebih 30 tahun.

Tahun ini turut menyaksikan krisis tidak berkesudahan dalam parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), sehingga melahirkan parti serpihan, Parti Rakyat Bersatu (UPP).

Keadaan serupa turut berlaku dalam satu lagi parti komponen BN Sarawak, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sehingga menyaksikan penubuhan parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Pada persidangan media sejurus selepas persidangan Dewan Undangan Negeri berakhir baru-baru ini, Adenan berkata sekiranya tiada kompromi dicapai antara parti yang berkenaan, beliau sendiri akan membuat keputusan muktamad mengenai pembahagian kerusi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).

Tempoh penggal Dewan Undangan Negeri Sarawak berakhir pada bulan Jun 2016.

Boleh dikatakan perkembangan menarik dalam persekitaran politik negeri tahun ini merujuk kepada dua perhimpunan yang ‘agak kontroversi’, yakni perhimpunan ‘722 Sarawak Freedom and Independence Day Walk’ di Padang Jubilee pada 22 Julai, dan perhimpunan Bersih 4 Kuching di padang Song Kheng Hai pada 29 Ogos.

Perhimpunan anjuran Sarawak Dayak Iban Association (Sadia) dan Sarawak for Sarawak (S4S) Team itu, yang dilapor diadakan bagi meraikan tarikh kemerdekaan Sarawak daripada pemerintahan British pada 22 Julai 1963.

Penganalisis politik memerhati dengan penuh minat bagaimana Adenan menangani kedua-dua peristiwa itu dengan berhati-hati, agar sokongan ramai terhadap BN tidak terjejas dengan isu ini; apatah lagi ketika PRN semakin hampir.

Rata-rata dilihat berpuas hati dengan kebijaksanaan ketua menteri mengatur strategi, apabila kedua-dua perhimpunan dibenarkan; dan hasilnya tiada rusuhan, tiada tangkapan, dan tiada kecaman hebat terhadap kerajaan negeri dilaungkan.

Sementara itu ketokohan Adenan makin terserlah apabila beliau dilaporkan bersemuka dengan kumpulan aktivis dan pengkritik kerajaan negeri yang datang menemuinya walaupun mereka tidak diundang dalam satu majlis anjuran pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London pada Mei lepas.

Antara mereka ialah pengarah eksekutif Bruno Manser Fund Lukas Strauman dan aktivis yang dilaporkan sebagai orang yang dikehendaki polis Malaysia, Doris Jones.

Awal September lalu, nama Adenan sekali lagi menjadi pujaan dan sebutan rakyat Sarawak apabila kehadiran beliau di Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Putrajaya menarik perhatian ramai.

Beliau dengan petah dan berani mempertahankan Tun Abdul Taib dan menyelar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpangkalan di United Kingdom, Global Witness, yang menuduh bekas ketua menteri itu terlibat dengan rasuah semasa berkuasa.

Di samping itu beliau turut menyatakan kesediaan Sarawak bekerjasama NGO untuk memastikan PRN nanti berjalan secara bebas dan bersih, dengan syarat mereka bersikap berkecuali.

Di Sarawak, DAP yang melihat sokongan kepada ketua menteri itu agak sukar untuk digugat, sebaliknya menjadikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ‘sasaran belasahan’ dan modal dalam usaha menggalakkan orang ramai menolak kepimpinan BN Sarawak.

Ungkapan kata-kata ‘satu undi untuk BN Sarawak merupakan satu undi untuk Najib dan Umno’ bagaikan memperkecil atau memperlekeh kepimpinan negara, secara tidak langsung berusaha mengheret orang ramai mempersoalkan kredibiliti BN Sarawak.

Adenan dengan nada bersahaja menjawabnya di persidangan DUN baru-baru ini dengan mengatakan bahawa PRN adalah soal kepimpinan BN Negeri, dan selagi hayat dikandung badan, beliau tidak mahu parti luar melebarkan sayapnya dalam negeri Sarawak.

“Hanya parti Sarawak yang tahu mengenai keadaan di Sarawak,” katanya.

Sementara itu ketegasan Adenan dengan caranya sendiri terserlah apabila beberapa keputusan beliau dilihat agak tidak selari dengan dasar kerajaan, seperti penerimaan sijil Peperiksaan UEC untuk biasiswa kerajaan dan perkhidmatan dalam kerajaan negeri, serta penerimaan Bahasa Inggeris dalam dokumen rasmi kerajaan.

Kegigihan beliau memperjuangkan kepentingan Sarawak juga ketara jelas apabila kekal bertegas supaya autonomi beberapa sektor tertentu dipulangkan, atau diperturunkan kepada kerajaan negeri, di samping dengan konsisten menuntut agar royalti minyak buat kerajaan negeri dinaikkan daripada lima peratus ketika ini kepada 20 peratus.

Hasil buah tangan terakhir beliau di penghujung tahun ini yang mendapat sanjungan menyeluruh adalah pengumuman beliau mengenai penghapusan tol bagi jambatan Tun Salahuddin di sini mulai tengah malam 31 Dis ini.

Berikutan khabar gembira itu, penduduk di Bumi Kenyalang akan melangkah dengan penuh bergaya memasuki tahun baharu 2016.

TAGS