Sorotan perbicaraan 1MDB Najib pada 29-31 Okt

Sorotan perbicaraan 1MDB Najib pada 29-31 Okt

Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mengaitkan Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mendengar mengenai perjanjian usaha sama (JV) antara 1MDB dan PetroSaudi International Ltd (PSI).

Mahkamah diberitahu antara lain bahawa ketua pegawai eksekutif (CEO) PSI, Tarek Obaid telah menerima habuan dalam bentuk komisen berjumlah AS$85 juta hasil daripada perjanjian usaha sama syarikat itu dengan 1MDB.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan dan salah seorang saksi utama berkata, syarikat Good Star Ltd, yang dikatakan dimiliki oleh ahli perniagaan buruan Low Taek Jho atau Jho Low, telah membayar AS$85 juta kepada Tarek, yang juga pengasas bersama PSI.

Bekas perdana menteri, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan ganjaran berjumlah RM2.3 bilion daripada 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana yang sama.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan didakwa melakukan empat kesalahan di AmIslamic Bank Berhad, cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Disember 2014 dan 21 pertuduhan, di tempat yang sama antara 22 Mac, 2013, dan 30 Ogos 2013.

Berikut adalah imbas kembali pernyataan saksi dihadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah:

HARI KE- 27 (29 Okt):

Shahrol Azral memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa 1MDB adalah kenderaan strategik untuk Najib dan sebagai pekerja, beliau mahu berkhidmat kepadanya dengan baik.

Bagaimanapun dalam keterangannya beliau berkata akan segera meletakkan jawatan sekiranya sekali lagi diberi peluang sekali lagi menjadi CEO 1MDB.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam utama pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, saksi itu mengatakan bahawa jika dia mengetahui Jho Low dan pengarah eksekutif 1MDB, Casey Tang banyak berbohong , dia akan secara sukarela meninggalkan jawatannya.

Mahkamah Tinggi juga mendengar bahawa lembaga pengarah 1MDB (BOD) tidak dimaklumkan tentang keputusan untuk memecahkan US $1 bilion yang dimaksudkan untuk usaha sama 1MDB-PSI kepada US $ 300 juta dan US $ 700 juta, dengan bahagian yang lebih besar akhirnya akan pergi kepada Good Star Ltd.

Terdahulu, mahkamah mendengar bahawa AS $ 700 juta telah dialihkan ke dalam akaun Good Star Ltd, sebuah syarikat yang pada mulanya dianggap anak syarikat PSI tetapi kemudian didedahkan sebagai dikawal oleh Jho Low.

Shahrol Azral berkata persetujuan BOD tidak diperoleh sebelum pemecahan disebabkan oleh kekangan masa dan ‘keperluan untuk menyelesaikan sesuatu’.

Saksi itu juga berkata Najib telah menasihati BOD 1MDB bahawa tidak ada keperluan penilaian kedua aset PSI dalam usaha sama dengan 1MDB.

Shahrol Azral berkata beliau bertemu Najib, yang merupakan pengerusi lembaga penasihat 1MDB, pada 16 Oktober 2009, untuk mendapatkan nasihatnya bagi pihak lembaga pengarah.

Ditanya oleh peguam mengenai mengapa butiran tentang aset PSI telah disembunyikan dari BOD, saksi itu menjawab, “Ia tidak muncul”.

Muhammad Shafee: Jadi apa maksudnya? Bahawa tidak ada penilaian kedua?

Shahrol Azral: Ini bermakna penilaian kedua tidak disukai. Tanggapan saya dari ayat ini bahawa Najib tidak suka ini.

Saksi juga memberi kesaksian bahawa mungkin dia telah tersilap ‘mendengarkan’ Najib dalam perkara yang berkaitan dengan dana kekayaan kerajaan.

HARI KE- 28 (30 Okt):

Mahkamah Tinggi diberitahu bahawa Ketua Pegawai Eksekutif PSI, Tarek Obaid telah menerima komisen AS $ 85 juta hasil daripada perjanjian usaha sama syarikat (JV) dengan 1MDB.

Shahrol Azral berkata syarikat itu, Good Star Ltd, yang didakwa dimiliki oleh Jho Low, telah membayar AS $ 85 juta kepada Tarek, yang juga pengasas bersama PSI.

Muhammad Shafee: Berdasarkan kenyataan bank, Tarek dibayar US$ 85 juta daripada US $ 700 juta dari Good Star untuk komisen sebagai sebahagian daripada perjanjian JV antara 1MDB dan PSI.

Shahrol Azral: Ya. Usaha sama itu ialah perjanjian 1MDB-Petrosaudi.

Muhammad Shafee: Jadi, US$ 700 juta pergi ke sana, AS $ 85 juta dikaut oleh Tarek dalam bentuk apa yang yang dikatakan komisyen, Shahrol Azral menjawab, “Ya”.

HARI KE- 29 (31 Okt):

Mahkamah Tinggi menangguhkan perbicaraan selepas bekas perdana menteri itu dikatakan sakit lagi akibat bengkak mata dan prosiding itu diteruskan pada hari Isnin.

— BERNAMA